PETRA JAYA, 23 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas peranan mereka dalam melaporkan agenda, inisiatif dan pencapaian kerajaan Sarawak sepanjang lima tahun penggal pemerintahan.
Beliau berharap kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan pihak media dapat diteruskan demi masa depan rakyat, khususnya generasi muda, selain mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya percaya kita akan terus bekerjasama demi masa depan anak Sarawak dan negeri kita serta mempertahankan hak kita di bawah MA63,” katanya pada Sidang Media Khas Premier Sarawak di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Terdahulu, kerajaan Sarawak mengumumkan insentif sekali bayar sebanyak RM700 kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Oleh Afiq Sallehi





