PRN: Abdul Karim sedia berundur selepas 25 tahun

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media pada majlis perasmian Regata Perahu Naga Antarabangsa di Tebingan Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 23 Oktober: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersedia memberi laluan kepada calon baharu selepas 25 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, namun menyerahkan keputusan pencalonannya kepada parti.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah melalui lima penggal sebagai wakil rakyat dan bersedia menerima apa sahaja keputusan parti berhubung pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

“Bagi pihak saya, saya sememangnya bersedia untuk berundur. Namun, sekiranya parti dan rakyat di kawasan pilihan raya masih merasakan khidmat saya diperlukan, kita tidak boleh menolak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum majlis pembukaan Regata Perahu Naga Antarabangsa 2026 di Tebingan Kuching petang ini, bagi mengulas kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata keputusan mengenai calon baharu yang akan diketengahkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) terletak di tangan Premier Sarawak yang juga Presiden GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita serahkan perkara itu kepada Premier dan Presiden GPS kerana beliau yang akan menentukan siapa calon baharu yang akan diketengahkan. Kita tunggu sehingga hampir hari penamaan calon,” ujarnya.

Terdahulu, Premier Sarawak mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa Isnin ini pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi hari ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sarawak akan datang.

Oleh Adele Rissa