Rumah tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di Bintangor

Facebook
WhatsApp
PADAM KEBAKARAN....Anggota bomba memadam kebakaran rumah. Foto PGO Bomba Sarawak

BINTANGOR, 23 Oktober: Sebuah rumah tidak kekal yang tidak berpenghuni musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Bintangor menuju ke Sarikei, berhampiran sebuah sekolah rendah pada petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 3.16 petang.

“Respons dengan panggilan kecemasan, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor digerakkan ke lokasi.

SEBUAH rumah tidak kekal yang tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan Bintangor menuju ke Sarikei, hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal yang tidak berpenghuni.

“Rumah tersebut terbakar 100 peratus, namun kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khadijah Sarakawi yang terlebih dahulu menjalankan penilaian awal terhadap keadaan kebakaran berdasarkan konsep RECEO.

“Bekalan air diperoleh daripada sumber air terbuka, iaitu parit berhampiran lokasi kejadian, memandangkan tiada pili bomba di kawasan tersebut.

PASUKAN BBP Bintangor menggunakan sumber air terbuka dari parit berhampiran bagi memadamkan kebakaran sebuah rumah tidak berpenghuni berikutan ketiadaan pili bomba di lokasi kejadian. Foto PGO Bomba Sarawak

“Anggota bomba meneruskan operasi pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api.

“Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin turut hadir di lokasi untuk mengikuti operasi pemadaman kebakaran,” katanya.

Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada 4.47 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.49 petang.

Turut berada di lokasi ialah empat kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan dua anggota polis.

Oleh Earl Anek