KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN Sarawak.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata tarikh mesyuarat itu belum ditentukan dan akan dimaklumkan kemudian.
“Seboleh-bolehnya kita akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak sebelum menentukan tarikh-tarikh berkaitan, dengan mengambil kira pelbagai faktor bagi memastikan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya kepada Bernama.
Mengulas tentang kesiapsiagaan SPR, beliau berkata persediaan awal meliputi aspek logistik, bekalan peralatan, latihan petugas pilihan raya serta pengenalpastian lokasi yang sesuai dijadikan pusat mengundi.
“Dari segi logistik, latihan dan petugas-petugas, insya-Allah kita bersedia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan penggunaan teknologi Optical Character Recognition-Voters Attendance (OCR-VA) pada PRN Sarawak akan dikemukakan kepada ahli SPR untuk penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat.
Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media khas hari ini mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober, bagi memberikan laluan kepada PRN ke-13.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.- Bernama





