KUCHING: Sarawak mencadangkan penubuhan satu tabung amanah sebagai saluran peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini secara lebih sistematik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, beliau mencadangkan penubuhan tabung amanah itu dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, semalam.
Dalam pertemuan itu katanya, mereka membincangkan supaya ada pendekatan baharu dalam pentadbiran antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak.
“Ini bermakna jika Sarawak mempunyai projek pembangunan berjumlah RM4 bilion dari Kerajaan Persekutuan, RM4 bilion itu akan dimasukkan ke dalam satu Tabung Amanah di Sarawak.
“Justeru, Sarawak akan mempunyai satu pendekatan baharu dalam pentadbiran antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Pada dasarnya, Anwar bersetuju dengan cadangan itu yang diyakini mampu memperkemas pengagihan peruntukan pembangunan untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Kejohanan Badminton Piala Abang Jo 2022 dan perasmian Dewan Persatuan Badminton Sarawak (SBA) di Jalan Lapangan Terbang di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden SBA, Tan Sri Abdul Aziz Husain.
Abang Johari berkata, penubuhan Tabung Amanah itu akan menjadikan dana dari Putrajaya dilihat semula dan diletakkan dibawah satu Tabung Amanah di Sarawak.
Abang Johari berkata, beliau meminta Anwar untuk mempertimbangkan agar tabung amanah itu diletakkan di Sarawak, namun di bawah pengawasan Kementerian Kewangan.
“Ini adalah satu pendekatan yang baharu dan rangka kerja itu akan ditentukan oleh jawatankuasa khas antara Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri sendiri untuk mengawal selia,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembangunan sukan di Sarawak, beliau memuji usaha SBA yang menganjurkan Kejohanan Piala Abang Jo 2022 khusus untuk mencungkil bakat muda badminton untuk membawa cabaran negeri dan negara di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama katanya, kerajaan Sarawak juga fokus untuk membangunkan sukan lain antaranya bola sepak dan sepak takraw bagi melengkapkan kemampuan Sarawak sebagai kuasa sukanasa depan.
“Sebab itu, kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan 20 kompleks sukan mini kerana menerusinya lebih ramai bakat baharu pelbagai jenis sukan dapat kita gilap di seluruh negeri,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA