LAWAS: Seramai 90 orang daripada 120 orang yang layak mengundi awal membabitkan anggota polis, turun mengundi untuk Parlimen Lawas bermula jam 8.00 pagi ini.
Pusat pengundian awal Parlimen Lawas bermula jam 8.00 pagi dan ditutup pada jam 2.00 petang ini.
Turut berada di lokasi pengundian awal ialah Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi Parliman terbabit, Ladin Atok untuk memantau perjalanan undi awal di Rumah Perkep IPD Lawas.
Ladin ketika ditemui pemberita berkata, proses pengundian awal berjalan lancar dan tidak menerima aduan salah laku.
“Cuma saya menerima aduan orang awam (kebelakangan ini) berhubung poster pilihan raya yang menghalang pandangan di simpang dan jalan-jalan yang ditutupi poster parti bertanding.
“Keseluruhannya keadaan terkawal dan semua parti bertanding mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong memberi jaminan pihak Polis Daerah Lawas kini dalam persiapan yang rapi bagi berdepan sebarang kemungkinan termasuk banjir.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk turun mengundi tanpa rasa takut pada 19 November ini kerana pihak polis akan sedaya upaya memastikan mereka keluar mengundi dengan selamat dan balik dengan selamat.
“Kita memang dalam persiapan yang tinggi dan sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk banjir.
“Pihak polis daerah Lawas juga akan bertindak dengan pasukan Cantas dan Unit Tempur Ringan(LSF) jika diperlukan,” katanya ketika di temui media selepas mengundi awal di sini hari ini.
Setakat ini pihak polis Lawas tidak menerima sebarang laporan berhubung kesalahan dalam kempen pilihanraya Umum kali ini.
Oleh ADENG EDRUS