KUCHING, 20 Oktober: Pesta Telaga Air 2026 bertujuan mempromosikan kampung berkenaan sebagai destinasi pelancongan menarik di samping mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.
Beliau berkata pesta selama tiga hari yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 November ini di Kampung Telaga Air akan mengetengahkan keunikan hasil laut, hidangan makanan serta pemandangan indah kawasan perairannya bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Pesta Telaga Air bukan sekadar sebuah acara untuk menarik pengunjung, tetapi merupakan satu platform untuk kita mengetengahkan keunikan dan potensi pelancongan kampung-kampung di kawasan Padawan,” katanya pada sidang media di Dewan MPP hari ini.
Tan Kai berkata penganjuran pesta itu dilaksanakan melalui kerjasama antara MPP dengan komuniti setempat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telaga Air.
Beliau menegaskan bahawa matlamat penganjuran bukan sekadar membawa pengunjung ke Padawan, tetapi turut mewujudkan peluang kepada penduduk dan peniaga tempatan.
“Apabila lebih ramai pengunjung datang, sudah tentu terdapat permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan seperti penginapan, makanan, pengangkutan, produk tempatan dan aktiviti pelancongan.
“Ini merupakan peluang kepada pengusaha inap desa, peniaga makanan, usahawan kecil, pengusaha pelancongan serta penduduk setempat untuk menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa kejayaan pembangunan pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pengunjung semata-mata, tetapi juga melalui manfaat ekonomi yang dapat dinikmati oleh masyarakat setempat.
“Kita mahu memastikan bahawa apabila sektor pelancongan berkembang, komuniti tempatan turut mendapat manfaat dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan tersebut,” katanya.
Tan Kai berkata Kampung Telaga Air turut menjadi lokasi penganjuran Regata Telaga Air pada tahun lalu yang berjaya menarik perhatian orang ramai, termasuk mereka yang mengikuti siaran langsung acara itu menerusi Facebook.
Menurutnya, penganjuran regata itu membuktikan bahawa sebuah kampung yang sebelum ini lebih dikenali dengan hasil lautnya juga berpotensi meraih pengiktirafan lebih luas menerusi acara sukan air yang mampu menarik pengunjung dari pelbagai tempat.
“Ini menunjukkan bahawa sebuah kampung kecil juga berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang dikenali apabila kita bekerjasama untuk mempromosikan keistimewaannya,” katanya.
Tan Kai berharap Pesta Telaga Air 2026 dapat meneruskan usaha mempromosikan Kampung Telaga Air sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di kawasan Padawan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, JKKK Kampung Telaga Air, agensi kerajaan, rakan kerjasama, penaja, sukarelawan, komuniti setempat dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara itu.
Tan Kai mengajak orang ramai, khususnya penduduk Kuching dan kawasan Padawan, untuk hadir memeriahkan pesta berkenaan dari 6 hingga 8 November ini bagi meneroka keunikan Kampung Telaga Air, menikmati keindahan alam semula jadinya serta menyokong perniagaan dan komuniti tempatan.
Oleh Connie Chieng





