SARIKEI, 20 Oktober: Kehadiran sarang tebuan sebesar bola keranjang di atas sebatang pokok di Jalan Rentap mencetuskan kebimbangan orang awam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.30 malam tadi.
“Pengadu ternampak sarang tebuan di atas pokok dan bimbang dengan keselamatan tersebut sebelum menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei untuk mendapatkan bantuan.

“Empat anggota APM Sarikei digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan APM Sarikei tiba di lokasi pada 8.51 malam sebelum memulakan operasi bagi menangani ancaman sarang tebuan tersebut.
“Sarang tebuan yang dianggarkan sebesar bola keranjang berjaya dimusnahkan menggunakan teknik pembakaran oleh anggota APM Sarikei,” katanya.
Tambahnya, operasi memusnahkan sarang tebuan selesai sepenuhnya pada 10.18 malam.
Oleh Earl Anek




