TANJUNG MANIS, 10 Oktober: Golongan warga emas bukan sekadar perlu diberikan perhatian dari aspek kebajikan, malah wajar terus diperkasakan melalui aktiviti kesihatan, sosial dan kemasyarakatan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang aktif, bermakna serta sejahtera.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan warga emas terus mempunyai ruang untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan melibatkan diri dalam aktiviti yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
Katanya, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjung Manis menyediakan platform bagi menggalakkan penglibatan golongan tersebut dalam pelbagai program yang menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.
“Golongan warga emas bukanlah sekadar golongan senior dalam masyarakat, tetapi adalah permata bernilai, gedung pengalaman, tiang seri kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Pengorbanan, titis keringat serta tunjuk ajar yang telah diberikan oleh warga emas pada masa lalu adalah asas kepada kesejahteraan dan kejayaan yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjung Manis, baru-baru ini.

Katanya, sumbangan generasi terdahulu perlu sentiasa dikenang kerana pengalaman, pengorbanan dan didikan mereka menjadi asas kepada pembentukan keluarga serta masyarakat yang harmoni.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan generasi muda supaya terus menghormati warga emas dan menghargai peranan mereka dalam membentuk kehidupan masyarakat pada hari ini.
Mengulas mengenai peranan PAWE, Yusuf berkata, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberikan penekanan dalam membudayakan kehidupan aktif dan sihat dalam kalangan warga emas.
Katanya, aspek pertama ialah penjagaan kesihatan fizikal dan minda melalui aktiviti senaman ringan, pemakanan seimbang serta penyertaan dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Peningkatan usia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk terus menjaga kecergasan dan menjalani kehidupan yang berkualiti.
“Kesihatan fizikal dan kecerdasan minda perlu sentiasa dijaga melalui senaman ringan, pemakanan yang seimbang, serta aktiviti kemasyarakatan agar kekal cergas dan bertenaga,” katanya.
Aspek kedua pula, menurutnya ialah pengukuhan hubungan silaturahim melalui aktiviti yang membolehkan warga emas berkumpul, beramah mesra dan berkongsi pengalaman sesama mereka.
“Program ini menyediakan ruang untuk warga emas berkumpul, beramah mesra, berkongsi cerita dan bergelak tawa.
“Suasana yang mesra ini amat penting untuk mengelakkan rasa terasing dan memberi sokongan emosi yang positif,” katanya.
Tambahnya, aspek ketiga ialah perkongsian pengalaman dan kebijaksanaan warga emas dengan generasi muda yang masih memerlukan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
“Anak-anak muda dan generasi hari ini sentiasa memerlukan nasihat, pandangan, dan kebijaksanaan daripada warga emas.
“Pengalaman hidup anda adalah ikhtibar dan panduan terbaik buat kami semua,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan warga emas supaya terus menyertai aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan rekreasi mengikut tahap kesihatan serta kemampuan diri.
“Teruskanlah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan rekreasi mengikut kemampuan diri.
“Sentiasalah gembira, tenang, dan nikmatilah fasa usia emas ini dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga dan rakan-rakan sekeliling,” ujarnya.
Beliau turut menyeru generasi muda supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa serta warga emas, sebaliknya terus memberikan perhatian, kasih sayang dan sokongan dalam kehidupan seharian
“Kepada generasi muda, marilah kita sentiasa berbakti, menyayangi serta memberikan perhatian yang terbaik kepada ibu bapa dan warga emas kita,” katanya.
Oleh Earl Anek




