JKKK, Biro Wanita Kampung Mawang Taup terima sumbangan daripada ADUN Tebedu

Facebook
WhatsApp
DR. Simon Sinang Bada menyampaikan sumbangan kepada JKKK dan Biro Wanita Kampung Mawang Taup. Foto Dr. Simon Sinang N21 Tebedu

TEBEDU, 20 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat apabila menyantuni serta mengikuti ibadat bersama warga Kampung Mawang Taup di Gereja Saint Aiden, dekat sini kelmarin.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa cek berjumlah RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM5,000 kepada Biro Wanita sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha pembangunan komuniti dan pemerkasaan masyarakat setempat.

Menurut Dr. Simon, kunjungan itu bukan sahaja menjadi peluang untuk mengeratkan silaturahim dan kebersamaan, malah memberi ruang kepada beliau mendengar sendiri pandangan, cadangan serta keperluan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Gereja Saint Aiden.

DR. Simon Sinang Bada menyantuni serta mengikuti ibadat bersama warga Kampung Mawang Taup di Gereja Saint Aiden. Foto Dr. Simon Sinang N21 Tebedu

“Ini bagi mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan demi keselesaan dan kesejahteraan seluruh umat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyokong pelaksanaan aktiviti, memperkukuh peranan organisasi serta membawa manfaat kepada seluruh warga Kampung Mawang Taup.

“Saya percaya bahawa melalui semangat kerjasama, persefahaman dan sokongan yang berterusan, kita mampu membina komuniti yang lebih sejahtera, bersatu padu dan terus maju,” ujarnya.

Dr. Simon turut berdoa agar Tuhan sentiasa memberkati warga Kampung Mawang Taup serta mempermudah segala usaha murni yang dilaksanakan demi kebaikan bersama.

Oleh Adi Safarman