KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu memenangi sekurang-kurangnya 28 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November nanti.
Pengerusi Publisiti dan Media GPS, Dato Idris Buang berkata bagaimanapun, tidak mustahil untuk GPS ‘membolot’ semua 31 kerusi Parlimen berdasarkan momentum menjelang seminggu lagi hari mengundi.
“Pada pandangan saya, GPS mempunyai peluang untuk memenangi tidak kurang daripada 28 kerusi, namun tidak mustahil untuk memenangi semua 31 kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sembang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Parlimen Lawas, Baru Bian untuk Sarawak.
Katannya, mereka b erdua adalah sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan pembinaan projek jambatan di negeri ini semasa memegang tampuk pemerintahan.
“Apakah yang mereka lakukan ketika pelbagai peruntukan untuk Sarawak ditarik balik dan apabila projek jambatan itu dibatalkan?
“Adakah mereka peduli dengan perasaan dan keperluan rakyat Sarawak? Berapa banyak yang telah mereka lakukan selama 22 bulan sewaktu menguasai Putrajaya?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi komen mengenai kemungkinan calon GPS bagi kerusi Parlimen Stampin, Lo Khere Chiang berjaya merampas kerusi itu daripada DAP.
Menurut Idris, Lo disifatkan sebagai seorang yang mempunyai kelayakan yang baik, masih bertenaga dan mampu melobi banyak projek pembangunan untuk kawasan itu.
Untuk rekod, pada PRU-14 lalu kerusi Parlimen Stampin dimenangi Chong dari DAP dengan jumlah undi 33,060 sekali gus menewaskan Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang bertanding atas tiket Barisan Nasional pada ketika itu.
Oleh RYNNA SHA’ERRA