KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak(GPS) bagi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof yakin bahawa pengundi di kawasannya akan bersama GPS.
Katanya, keyakinan timbul kerana dasar Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bertekad membawa dan membimbing Sarawak ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Selain itu sepanjang beliau menjadi Premier banyak bantuan telah diserahkan, bukan sahaja kepada warga emas malah belia selain bayi yang belum lahir, dan apabila dilahirkan terus mendapat peruntukan.
“Secara keseluruhannya saya yakin rata-rata masyarakat di Petra Jaya akan bersama dengan kita tidak kira peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Inklusiviti Bersama Komuniti di Kampung Samariang Batu, disini hari ini.
Kawasan Parlimen P194 Petra Jaya menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Dalam misi mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2004, Menteri Kanan Kerja Raya itu dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Sophian Junaidi dan Datuk Othman Abdillah mewakili Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR).
Menurut statistik, Parlimen Petra Jaya mempunyai 109,670 pemilih berdaftar.
Oleh SHAHRUL QAIZAT