SIDANG MEDIA… Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika sidang media pada Program DLP di Kuching, semalam.
KUCHING: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn menyatakan bahawa sistem pendidikan di Sarawak adalah semakin maju ketika sidang media selepas melancarkan Program Dwi Bahasa di sini, semalam.
“Pakar menganjurkan pelbagai program pendidikan adalah bukti bahawa sistem pendidikan Sarawak semakin maju dan tidak lapuk.
“Saya tidak fikir sistem pendidikan Sarawak lapuk. Kita sebenarnya semakin maju. Mengatur program pendidikan bukan sesuatu yang tidak akan membuahkan hasil.
“Penyusunan program ini juga dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan merekalah yang mengetahui keperluan masa hadapan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Persekutuan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin pada 8 Ogos lalu yang menyatakan bahawa sistem pendidikan di Malaysia terbantut kerana tidak mahu melakukan perubahan sehingga menyebabkan negara lain mengatasi Malaysia dari segi pendidikan.
Menurut kenyataan media, Radzi menekankan bahawa semasa desakan pemansuhan peperiksaan kebangsaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), beberapa guru dan pihak berkepentingan lain menentang langkah itu dan mengatakan bahawa sekolah tidak bersedia untuk pentaksiran dalam kelas dan berasaskan sekolah.
“Pentaksiran dalam kelas dan berasaskan sekolah diperkenalkan sejak 2011, namun ramai guru dan pihak berkepentingan menyatakan mereka belum bersedia,” nafinya dalam satu kenyataan media.
Pada majlis itu, Sagah juga memaklumkan Program Duo Bahasa (DLP) Sarawak diperkenalkan sejak 2019 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MEITD mengetuai program tersebut dengan meletakkan sasaran semua sekolah rendah kebangsaan di negeri ini akan diberi pendedahan dan latihan.
Kursus DLP Sarawak dijalankan di enam zon iaitu Kuching, Sri Aman, Mukah, Sibu, Bintulu dan Limbang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis; Setiausaha Tetap MEITD Datu Kameri Affandi; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (Sektor Pembelajaran) Dr. Les Met; dan pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (ITEC) Dr. Lambat Lindong.
Oleh SHAHRUL QAIZAT