DIYANA SAMSUDDIN
KUCHING: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan 2019 dan 2020 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam disifatkan sebagai membuka ruang kepada Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pembangunan Sarawak secara berterusan.
Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara [DBKU]), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan ini projek yang telah dirancang dan sedang dalam pelaksanaan akan dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan dan kemudahan rakyat walaupun dalam suasana yg mencabar pada masa ini akibat penularan Covid-19.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai mendedahkan lebih 4,000 pek bantuan makanan diagihkan kepada rakyat di kawasannya sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pada Mac lalu.
“Dengan ini, saya juga menyokong Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan kerana penularan wabak Covid19 belum reda sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam selepas menghadiri Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 semalam.
Justeru, katanya, bantuan makanan masih diteruskan dari semasa ke semasa untuk isi rumah yang memerlukan.