TATAU, 31 Oktober: Sebuah bangunan reban ayam di Kilang Chic Wan, Jalan Tatau, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada 7.50 pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan bahawa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau tiba di lokasi pada 7.52 pagi, dua minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan bangunan reban ayam berukuran kira-kira 122 meter panjang dan 12 meter lebar dengan tahap kemusnahan dianggarkan 100 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 400 kaki dengan bekalan air daripada jentera bomba.

Operasi itu turut dibantu lapan anggota dari BBP Bintulu, menjadikan keseluruhan 18 anggota bomba dari kedua-dua balai terlibat dalam operasi berkenaan.
Kebakaran berjaya dikawal pada 9.03 pagi dengan bantuan dua jentera bomba ringan (LFRT), sebuah kenderaan Urvan dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu operasi di lokasi dengan kekuatan dua anggota.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.





