KUCHING, 30 Oktober: Sebanyak 15 syarikat telah menyatakan minat untuk melabur dalam pembangunan Taman Perabot di Kuching yang dirancang sebagai usaha memperkukuh industri hiliran perkayuan dan meningkatkan pengeluaran produk bernilai tambah tinggi di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek berkenaan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan kini masih dalam peringkat perancangan.
Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pusaka) telah menerima maklum balas daripada 15 syarikat yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan taman perabot berkenaan.
“Disebabkan itu, kita merancang untuk membangunkan Taman Perabot di Kuching. Dan ini adalah projek yang sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
“Belum lagi kita laksanakan, masih dalam perancangan. Pihak Pusaka sudah menerima 15 pelabur – pelabur , 15 syarikat yang berminat untuk melabur di dalam pembangunan perabot ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Pusaka di sebuah hotel, di Kuching, malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (Pusaka) berkata, pembangunan industri perabot, khususnya menerusi penggunaan kayu kejuruteraan (engineered wood), merupakan antara pendekatan penting untuk meningkatkan nilai komersial produk tempatan.
Katanya, industri perkayuan Sarawak perlu bergerak ke arah pengeluaran produk hiliran bernilai tinggi bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global, peningkatan kos operasi serta tuntutan pematuhan peraturan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau berkata Pusaka turut memperkukuh pembangunan reka bentuk perabot menerusi program SayD’signerSarawak yang berjaya menghasilkan 166 reka bentuk, dengan 10 daripadanya telah dipilih untuk dikomersialkan bersama pemain industri.
Menurutnya, inisiatif itu penting dalam melahirkan lebih ramai pereka tempatan yang kreatif dan inovatif, selain membuka peluang kepada generasi muda dalam bidang reka bentuk, teknologi pembuatan dan keusahawanan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh industri perkayuan turut selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi serta pembangunan ekonomi kitaran, tenaga boleh baharu dan bioenergi.




