Tangani kekurangan 1,200 doktor, Sarawak perluas latihan perubatan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
SARAWAK gandakan tajaan pengajian perubatan Unimas kepada 80 tempat dan merancang penubuhan fakulti perubatan UTS bagi menangani kekurangan 1,200 doktor.

KUCHING, 30 Oktober: Sarawak mempergiat usaha menangani kekurangan kira-kira 1,200 doktor di negeri ini menerusi penambahan tajaan pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) daripada 40 kepada 80 tempat, selain persediaan penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penambahan 40 tempat itu dipersetujui selepas perbincangan bersama Naib Canselor Unimas semalam, dengan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sarawak.

Menurutnya, pengambilan berkenaan akan dilaksanakan menerusi aturan khas antara kerajaan negeri dengan Unimas dan tidak melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

“Kita 40, jadi semalam saya ada berbincang dengan Naib Canselor Unimas, kita akan tambah lagi 40, jadi maknanya 80.

“Yayasan Sarawak yang menanggungnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata, keutamaan diberikan kepada anak Sarawak bagi memastikan mereka yang menerima tajaan pengajian perubatan kembali berkhidmat di negeri ini selepas menamatkan pengajian.

“Kita memberi penekanan kepada anak Sarawak disebabkan mereka yang bergraduasi dari negeri lain tidak mahu datang ke sini. Jadi, kita perlu mempunyai doktor sendiri, anak Sarawak supaya mereka akan berkhidmat di Sarawak,” katanya.

Menurutnya, usaha itu penting bagi menangani kekurangan tenaga perubatan di Sarawak yang kini berdepan kira-kira 1,200 kekosongan jawatan doktor.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, UTS di Sibu turut membuat persediaan untuk menubuhkan fakulti perubatan sebagai langkah jangka panjang memperluas kapasiti latihan doktor di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan fakulti berkenaan memerlukan persediaan rapi termasuk penyediaan tenaga pengajar, kemudahan pengajaran serta pematuhan terhadap standard pendidikan perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, UTS perlu bekerjasama dengan universiti lain yang mempunyai penanda aras antarabangsa bagi memastikan program perubatan yang bakal ditawarkan memenuhi standard universiti yang tinggi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pendidikan Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, persediaan penubuhan fakulti perubatan itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

“Kalau kita mula sekarang, sekurang-kurangnya dua tahun dari sekarang,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa persediaan berkenaan merangkumi pembangunan tenaga pengajar, penyediaan kemudahan pengajaran serta pematuhan terhadap standard akademik dan piawaian antarabangsa.

Penubuhan fakulti perubatan itu dijangka memperluas peluang anak Sarawak mengikuti pengajian dalam bidang berkenaan selain meningkatkan keupayaan negeri melahirkan tenaga perubatan sendiri.

Usaha berkenaan selari dengan pendekatan kerajaan negeri yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pelaburan dalam pendidikan tinggi, khususnya bagi memenuhi keperluan tenaga profesional dalam sektor-sektor penting termasuk kesihatan.