Eksklusif: Tujuh maut akibat serangan buaya, SFC perhebat operasi kawalan di seluruh Sarawak

Facebook
WhatsApp
Eksklusif: Tujuh maut akibat serangan buaya, SFC perhebat operasi kawalan di seluruh Sarawak

SARIKEI, 31 Oktober: Sebanyak tujuh kematian daripada 11 kes serangan buaya direkodkan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sekali gus memperlihatkan cabaran berterusan dalam menangani konflik manusia-buaya, khususnya di kawasan penempatan dan sungai yang menjadi sumber kehidupan masyarakat.

Susulan tragedi serangan buaya di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan melaksanakan operasi pengeluaran buaya, meningkatkan pemantauan dan memasang papan tanda amaran bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.

Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, memaklumkan bahawa survei populasi terdahulu merekodkan 11 ekor buaya di Sungai Plaie, namun kawasan tersebut tidak dikategorikan sebagai lokasi berisiko tinggi berdasarkan rekod konflik sebelum kejadian terbaharu.

Pada masa sama, SFC menerima 108 laporan menerusi aplikasi Sarawak Croc Watch setakat Oktober 2026, manakala lebih 151 ekor buaya ditangkap atau dikeluarkan oleh pasukan SWAT SFC dan lebih 156 ekor lagi ditangkap oleh pemburu berlesen.

Dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Sarawak, Abang Arabi memperincikan tindakan susulan tragedi Sebuyau, statistik serangan buaya, keberkesanan operasi kawalan, langkah keselamatan masyarakat serta hala tuju pengurusan konflik manusia-buaya menjelang 2027.

Soalan (S): Susulan tragedi serangan buaya di Sungai Plaie Ulu, Sebuyau, apakah tindakan segera SFC bagi memastikan keselamatan penduduk dan mengelakkan kejadian sama berulang?

Abang Arabi: 

Kejadian serangan buaya di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau merupakan kes pertama yang direkodkan di kawasan tersebut.

Berdasarkan survei populasi buaya yang dijalankan oleh SFC pada Oktober 2025, sebanyak 11 ekor buaya telah direkodkan di sepanjang sungai berkenaan.

Sebagai tindakan segera, SFC akan melaksanakan operasi pengeluaran buaya (crocodile removal operation) di Sungai Plaie dalam masa terdekat bagi mengurangkan risiko serangan terhadap penduduk setempat.

Selain itu, SFC juga akan melaksanakan program pendidikan dan kesedaran awam di kawasan sekitar dengan memberi penekanan kepada perkongsian maklumat mengenai risiko kehadiran buaya serta langkah keselamatan yang perlu diamalkan oleh penduduk, khususnya ketika menjalankan aktiviti di sungai.

SFC turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti di kawasan sungai yang berisiko bagi mengurangkan kemungkinan kejadian seumpama ini berulang.

S: Adakah SFC telah mengenal pasti buaya yang dipercayai menyerang mangsa, dan apakah tindakan terhadap reptilia berkenaan?

Abang Arabi:

Sejak insiden tersebut dilaporkan, SFC telah menjalankan pengumpulan maklumat berkaitan kejadian, termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi, bagi membantu perancangan dan penyelarasan operasi yang akan dilaksanakan.

Semasa operasi dijalankan, pasukan SFC akan melaksanakan survei dan penilaian di kawasan terlibat bagi mengenal pasti buaya yang disyaki menyerang mangsa serta buaya lain yang berpotensi mendatangkan ancaman kepada keselamatan penduduk setempat.

Tindakan menangkap buaya yang dikenal pasti berisiko akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian di lapangan, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan awam dan usaha mengurangkan risiko kejadian seumpama ini berulang.

S: Difahamkan SFC menjalankan kajian populasi buaya di kawasan Sebuyau pada April lalu. Apakah dapatan utama kajian tersebut dan langkah susulan yang telah dilaksanakan sebelum kejadian ini?

Abang Arabi:

Berdasarkan rekod SFC, Sungai Plaie, Ulu Sebuyau tidak dikategorikan sebagai kawasan panas (hotspot) serangan buaya.

Kejadian baru-baru ini merupakan kes pertama direkodkan dalam tempoh 10 tahun, dan sepanjang tahun 2026, SFC tidak menerima sebarang aduan berkaitan ancaman buaya daripada penduduk setempat sebelum kejadian tersebut.

Survei dan pemantauan yang dijalankan di Sungai Plaie pada November 2025 menemukan 11 ekor buaya katak pelbagai saiz di sungai berkenaan, manakala kehadiran buaya nyulong turut dilaporkan oleh penduduk setempat.

Berdasarkan hasil survei dan rekod konflik, kawasan ini tidak dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang memerlukan operasi kawalan khusus sebelum kejadian.

Namun, kehadiran buaya tetap membawa risiko serangan, khususnya apabila terdapat peluang interaksi antara manusia dengan buaya.

Sehubungan itu, SFC sentiasa menekankan kepentingan langkah keselamatan dan kewaspadaan masyarakat ketika menjalankan aktiviti di sungai.

Susulan kejadian ini, SFC akan meningkatkan pemantauan, melaksanakan operasi pengeluaran buaya berisiko serta memperkukuh program kesedaran awam di kawasan tersebut.

S: Adakah Sungai Plaie Ulu kini dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi, dan adakah SFC akan meningkatkan rondaan, memasang papan amaran atau melaksanakan operasi kawalan khusus?

Abang Arabi:

Berdasarkan hasil survei populasi buaya dan rekod konflik manusia-buaya sebelum ini, Sungai Plaie Ulu tidak dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.

Bagaimanapun, kejadian serangan yang berlaku menunjukkan bahawa kehadiran buaya di kawasan tersebut tetap berpotensi mengancam keselamatan penduduk, khususnya mereka yang menjalankan aktiviti di sungai.

Sehubungan itu, SFC akan meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan serta melaksanakan operasi pengeluaran buaya yang dikenal pasti berisiko.

Selain itu, papan tanda amaran bahaya buaya juga akan dipasang di lokasi strategik bagi meningkatkan kesedaran dan mengingatkan penduduk supaya sentiasa mengamalkan langkah keselamatan ketika berada berhampiran sungai.

SFC juga akan terus menilai tahap risiko di kawasan tersebut berdasarkan hasil pemantauan dan perkembangan konflik semasa bagi memastikan langkah pengurusan yang bersesuaian dapat dilaksanakan.

S: Berapakah jumlah kes konflik manusia-buaya yang direkodkan di seluruh Sarawak sepanjang 2026 setakat ini, termasuk kes kematian dan kecederaan, berbanding tempoh sama tahun lalu?

Abang Arabi:

Sebanyak 11 kes serangan buaya telah direkodkan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, melibatkan tujuh kes kematian dan empat kes kecederaan.

Sebagai perbandingan, sepanjang tahun 2025, sebanyak 15 kes serangan buaya telah direkodkan, melibatkan 10 kes kematian dan lima kes kecederaan.

S: Daerah atau sungai manakah mencatatkan insiden konflik manusia-buaya tertinggi tahun ini, dan apakah faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada keadaan tersebut?

Abang Arabi:

Berdasarkan rekod SFC setakat Oktober 2026, Bahagian Miri mencatatkan jumlah kes serangan buaya yang membawa maut tertinggi, iaitu sebanyak tiga kes, masing-masing berlaku di Suai, Bakong dan Marudi.

Antara faktor utama yang dikenal pasti ialah aktiviti manusia di sungai, khususnya aktiviti memancing dan menangkap ikan, yang meningkatkan risiko pertembungan dengan buaya.

Risiko ini lebih tinggi apabila aktiviti dijalankan di kawasan habitat buaya, terutamanya berhampiran tebing sungai dan pada waktu buaya lebih aktif.

Sehubungan itu, SFC terus menekankan kepentingan amalan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai, khususnya dalam kalangan komuniti yang bergantung kepada sungai sebagai sumber mata pencarian.

S: Adakah peningkatan penampakan buaya berhampiran kawasan penempatan menunjukkan perubahan taburan populasi, gangguan habitat atau faktor lain berdasarkan kajian saintifik SFC?

Abang Arabi:

Peningkatan penampakan buaya berhampiran kawasan penempatan boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk pertambahan populasi buaya, perubahan habitat serta aktiviti manusia di kawasan sungai.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian SFC, aktiviti manusia turut memainkan peranan dalam mempengaruhi tingkah laku dan pergerakan buaya.

Antaranya, pembuangan sisa makanan dan sampah ke dalam sungai boleh menarik kehadiran buaya sebagai pemangsa oportunis yang mencari sumber makanan.

Selain itu, kehadiran haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing berhampiran tebing sungai juga boleh menarik perhatian buaya sebagai mangsa.

Sehubungan itu, SFC menekankan kepentingan pengurusan sisa yang baik, mengelakkan pemberian makanan kepada buaya serta meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengurangkan faktor yang boleh menarik kehadiran buaya ke kawasan penempatan.

S: Apakah prosedur SFC selepas menerima laporan buaya berbahaya, termasuk tempoh tindak balas, penilaian risiko serta kriteria menangkap atau memindahkan haiwan tersebut?

Abang Arabi:

Setiap laporan berkaitan kehadiran buaya yang berpotensi mengancam keselamatan awam akan dinilai oleh SFC bagi menentukan tahap risiko dan tindakan yang bersesuaian.

Tempoh tindak balas bergantung kepada tahap kecemasan dan risiko yang dikenal pasti, dengan keutamaan diberikan kepada kes serangan buaya serta situasi yang melibatkan ancaman langsung terhadap keselamatan manusia.

Penilaian risiko mengambil kira beberapa faktor, termasuk lokasi, saiz dan tingkah laku buaya, kekerapan penampakan serta tahap aktiviti manusia di kawasan berkenaan.

Berdasarkan hasil penilaian, SFC akan menentukan tindakan yang bersesuaian, termasuk pemantauan, pemasangan papan tanda amaran, operasi tangkapan atau pengeluaran buaya yang dikenal pasti berbahaya.

Pemindahan buaya pula hanya dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi dan penilaian risiko bagi mengelakkan ancaman kepada komuniti lain.

Orang awam yang mengesan kehadiran buaya berbahaya digalakkan segera melaporkannya melalui aplikasi Sarawak Croc Watch atau menghubungi talian aduan SFC.

Maklumat seperti lokasi, masa dan keadaan penampakan amat membantu SFC dalam membuat penilaian serta merancang tindakan susulan.

S: Bagi masyarakat yang bergantung pada sungai untuk mencari rezeki, apakah langkah perlindungan praktikal yang boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan mata pencarian mereka?

Abang Arabi:

SFC memahami bahawa sungai merupakan sumber mata pencarian utama bagi sebahagian masyarakat, khususnya komuniti nelayan dan penduduk luar bandar.

Sehubungan itu, SFC menekankan kepentingan mengamalkan langkah keselamatan yang praktikal bagi mengurangkan risiko serangan buaya tanpa menjejaskan mata pencarian mereka.

Antara langkah keselamatan yang disarankan ialah:

1. Penggunaan bot atau perahu yang selamat: Menggunakan bot atau perahu yang bersesuaian, stabil dan mempunyai sisi yang cukup tinggi bagi mengurangkan risiko serangan buaya. Elakkan penggunaan perahu yang terlalu kecil atau mudah terbalik.

2. Elakkan aktiviti bersendirian: Menjalankan aktiviti menangkap ikan secara berkumpulan atau berpasangan bagi membolehkan bantuan segera diberikan sekiranya berlaku kecemasan.

3. Pemilihan masa dan lokasi: Mengutamakan aktiviti pada waktu siang serta mengelakkan aktiviti di sungai pada waktu malam, awal pagi dan senja, khususnya di kawasan yang mempunyai rekod penampakan buaya.

4. Mengelakkan sentuhan langsung dengan air: Tidak menjuntaikan tangan atau kaki ke dalam sungai serta mengelakkan aktiviti merendam badan, mencuci peralatan atau membersihkan hasil tangkapan di tebing sungai.

5. Pengurusan hasil tangkapan: Tidak membuang sisa ikan, darah atau umpan ke dalam sungai berhampiran bot, jeti atau kawasan penempatan kerana boleh menarik kehadiran buaya.

6. Berwaspada ketika mengendalikan peralatan menangkap ikan: Mengelakkan aktiviti menarik pukat, memasang atau memeriksa perangkap ikan yang memerlukan individu berada di dalam air, khususnya di kawasan berisiko.

7. Tindakan apabila buaya dikesan: Segera menghentikan aktiviti dan beredar dengan tenang ke kawasan selamat sekiranya buaya dikesan berhampiran. Jangan menghampiri, mengganggu atau cuba menangkap buaya.

8. Pelaporan penampakan buaya: Segera melaporkan kehadiran buaya yang menunjukkan tingkah laku agresif atau berpotensi mengancam keselamatan kepada SFC untuk tindakan lanjut.

SFC akan terus memperkukuh program pendidikan dan kesedaran awam serta bekerjasama dengan komuniti setempat dalam menyampaikan panduan keselamatan yang bersesuaian, bagi memastikan masyarakat dapat meneruskan aktiviti ekonomi dengan lebih selamat di kawasan habitat buaya.

S: Sejauh manakah keberkesanan aplikasi Sarawak Croc Watch dalam membantu SFC mengesan kawasan berisiko, dan berapakah laporan yang diterima sepanjang 2026?

Abang Arabi:

Aplikasi Sarawak Croc Watch membantu meningkatkan kecekapan SFC dalam pemantauan dan tindak balas terhadap konflik manusia-buaya.

Laporan awam berserta lokasi dan gambar membolehkan SFC mengenal pasti kawasan berisiko, mempercepatkan penilaian aduan serta merancang operasi dengan lebih bersasar.

Setakat Oktober 2026, sebanyak 108 laporan telah diterima melalui aplikasi ini.

Maklumat tersebut turut menyokong operasi pengurusan buaya, termasuk penangkapan dan pengeluaran lebih 151 ekor buaya oleh pasukan SWAT SFC, manakala lebih 156 ekor lagi ditangkap oleh pemburu berlesen sepanjang tahun 2026.

Laporan melalui aplikasi ini turut membantu SFC merancang program kesedaran awam 3M Buaya secara lebih bersasar, khususnya di kawasan berisiko tinggi dan melibatkan pelbagai kumpulan komuniti yang terdedah kepada risiko.

Lebih 73 program 3M Buaya telah dilaksanakan di pelbagai lokasi bagi meningkatkan kesedaran serta amalan keselamatan masyarakat.

Secara keseluruhannya, aplikasi ini telah memperkukuh sistem pelaporan, pemantauan dan keupayaan SFC untuk bertindak dengan lebih cepat dan bersasar demi keselamatan awam.

S: Adakah SFC bercadang menyemak semula pendekatan pengurusan populasi buaya, termasuk operasi kawalan, pemberian lesen memburu dan tindakan terhadap buaya yang mengancam keselamatan manusia?

Abang Arabi:

Pendekatan pengurusan buaya yang dilaksanakan oleh SFC adalah berasaskan prinsip pengurusan adaptif (adaptive management), iaitu pelan dan strategi pengurusan sentiasa dinilai serta boleh ditambah baik berdasarkan data saintifik, keberkesanan pelaksanaan, cabaran dan situasi semasa.

Ini termasuk penambahbaikan strategi operasi kawalan, pelaksanaan program pelesenan memburu serta tindakan terhadap buaya yang berpotensi mengancam keselamatan manusia.

Setiap pendekatan dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan awam, pemuliharaan spesies dan penggunaan sumber secara mampan.

Bagaimanapun, keberkesanan strategi ini amat bergantung kepada kerjasama dan penglibatan semua pihak, termasuk agensi kerajaan, komuniti setempat dan pihak berkepentingan, bagi memastikan usaha pengurusan konflik manusia-buaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

S: Susulan tragedi Sebuyau, apakah komitmen serta sasaran khusus SFC bagi mengurangkan risiko konflik manusia-buaya di seluruh Sarawak menjelang 2027?

Abang Arabi:

SFC kekal komited untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia-buaya di seluruh Sarawak dengan memberi keutamaan kepada keselamatan awam.

Menjelang 2027, SFC akan terus menambah baik strategi pengurusan, meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan anggota, memperkasakan program pendidikan dan kesedaran awam 3M Buaya, serta memperluas penyelidikan, penggunaan data saintifik dan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan serta tindakan pengurusan.

Cabaran konflik manusia-buaya bukan sahaja dihadapi di Sarawak, malah turut menjadi isu yang semakin mendapat perhatian di negeri dan negara jiran.

Sehubungan itu, SFC akan terus memperkukuh kerjasama dengan pakar antarabangsa serta perkongsian pengalaman, kepakaran dan amalan pengurusan terbaik di peringkat serantau bagi menambah baik strategi pengurusan konflik manusia-buaya.

Antara cabaran utama SFC ialah keluasan kawasan pengurusan, memandangkan populasi buaya tersebar di sekurang-kurangnya 40 lembangan sungai di seluruh Sarawak.

Keadaan ini memerlukan pendekatan pengurusan yang bersepadu, bersasar dan kerjasama pelbagai pihak.

Dalam masa sama, penglibatan aktif komuniti amat penting dalam mengurangkan risiko konflik, khususnya dengan menghentikan amalan yang boleh menarik kehadiran buaya berhampiran penempatan, seperti membuang sisa makanan ke sungai, membiarkan haiwan ternakan dan peliharaan berkeliaran berhampiran tebing sungai serta memberi makan kepada buaya.

Matlamat utama SFC menjelang 2027 adalah untuk mengurangkan risiko serangan buaya, memperkukuh keberkesanan tindakan pengurusan serta meningkatkan kesedaran dan amalan keselamatan masyarakat melalui kerjasama semua pihak.

Rumusan

Tragedi di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau memperlihatkan bahawa risiko serangan buaya tidak terhad kepada kawasan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi panas konflik manusia-buaya.

Walaupun SFC telah melaksanakan survei populasi, operasi kawalan, program kesedaran awam dan sistem pelaporan digital, kejadian terbaharu itu menyerlahkan kepentingan penilaian risiko secara berterusan, khususnya di kawasan sungai yang menjadi tempat penduduk menjalankan aktiviti harian dan mencari rezeki.

Dengan sekurang-kurangnya 40 lembangan sungai menjadi kawasan taburan buaya di Sarawak, usaha mengurangkan konflik memerlukan gabungan pemantauan saintifik, tindakan pengurusan yang bersasar dan penglibatan aktif masyarakat.

Menjelang 2027, keberkesanan pendekatan SFC bukan sahaja bergantung pada jumlah buaya yang ditangkap atau operasi yang dilaksanakan, tetapi juga pada sejauh mana langkah pencegahan dapat mengurangkan risiko serangan serta meningkatkan keselamatan penduduk tanpa menjejaskan mata pencarian mereka.

Dalam hal ini, tragedi Sebuyau menjadi peringatan bahawa keselamatan manusia dan pengurusan hidupan liar perlu terus diberikan perhatian secara menyeluruh, berasaskan bukti serta kerjasama berterusan antara agensi dan komuniti.

Oleh Earl Anek