SEBUYAU : Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam Quran dan tadarus membaca ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena Nuzul Quran.
Pelbagai program termasuk ceramah agama, khatamal quran biasanya diadakan di seluruh negara bagi mengenang kembali sejarah turunnya al-Quran kepada baginda Nabi Muhammad yang merupakan peristiwa penting bagi umat Islam.
Sambutan tahun ini sedikit berbeza kerana penularan wabak COVID-19, pastinya perhimpunan ramai untuk menganjurkan kelaziman itu tidak boleh di lakukan seperti kebiasaan.
Ia berikutan negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik maut itu daripada terus menular.
Oleh kerana itu, pihak Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan baru-baru ini telah mengambil pendekatan dengan menjadikan Program Sumbangan “Bubur Pedas” kepada masyrakat di sekitar Daerah Sebuyau dalam menjadikan sambutan kali ini diadakan sederhana.
Daerah Sebuyau merupakan tuan rumah Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri pada tahun ini. Oleh kerana itu,usaha ini diraikan dengan normal baharu, iaitu tadarus al-Quran dilakukan secara sendiri, dalam talian atau bersama keluarga di rumah masing-masing, sekali gus menghayati kemuliaan Ramadan.
Disamping itu juga, persatuan Qari Bahagian Samarahan telah mengadakan tadarus Al-Quran secara dalam talian bersama guru-guru Al-Quran Samarahan.
Dalam pada itu, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan ,Ustaz Bahrin Kawi menyeru kepada masyarakat Islam di sekitar Samarahan untuk terus mengimarahkan bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan segala amal ibadah yang telah disediakan dan seterusnya bersama mendoakan agar negara kita Malaysia khususnya serta negeri Sarawak ini bebas dari wabak Covid-19.
Majlis turut dihadiri oleh Azis Ahmat Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebuyau, Mohamad Amirul Jemat, Pegawai Khas Datuk Julaihi Narawi, Penghulu Abu Seman Suhaili, Ketua-Ketua Kaum, Pengerusi JKP Masjid/surau dari Daerah Kecil Sebuyau.