MENARIK …Sekitar ruang terdapat dalam bangunan Muzium Budaya Borneo yang dikongsi oleh pihak muzium
menerusi Facebook rasmi Borneo Cultures Museum.
KUCHING: Muzium yang lama dinantikan, Muzium Budaya Borneo dijangka akan dibuka kepada pengunjung pada 4 Mac depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hazmah mengesahkan perkara itu ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, perasmian pembukaan muzium terbesar di Malaysia dan muzium kedua terbesar di Asia Tenggara itu nanti akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Mac ini.
“Ia akan dirasmikan pada 4 Mac…oleh TYT (Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya secara ringkas menerusi aplikasi Whatsapp.
Sebelum itu, pihak muzium juga telah berkongsi beberapa imej paparannya di dalam muzium dan memaklumkan bahawa muzium itu bakal dibuka kepada orang awam pada Mac depan.
Muzium bertaraf dunia yang direka dan dilengkapi dengan kemudahan abad ke-21 itu mempunyai ruang pameran interaktif berkeluasan 6,000 meter persegi, untuk mempamerkan kekayaan warisan budaya negeri kepada dunia.
Artifak dan spesimen unik akan menjadi sebahagian daripada pameran yang bersedia untuk membawa pengunjung ke dalam perjalanan interaktif yang mempamerkan sejarah dan kehidupan masyarakat Sarawak.
Bangunan berkeluasan 30,000 meter persegi ini yang diperakui Indeks Bangunan Hijau (GBI), bakal menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa dan mempunyai lima tingkat menempatkan kafeteria, galeri kanak-kanak dan kawasan pameran.
Terdahulu, muzium bertaraf dunia itu telah dibina dengan kos RM308 juta pada 2015 dan siap pada 2019 namun pembukaan telah tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Oleh SYAMIMI HUSNA