MUKAH, 22 Oktober: Festival Saga Nusantara 2026 (SNF26) anjuran PBCC Corpora PLT bakal membuat kemunculan julung bagi meraikan budaya Melanau.
Festival yang diadakan mulai semalam hingga 25 Oktober ini bertempat di Petanak Beach Chalet dan Cafe (PBCC) Mukah bakal menampilkan penyanyi dari Indonesia serta turut diadakan aktiviti-aktiviti yang menarik.
Penyelaras SNF26, Nur Faydzyah Abdul Aziz berkata, penganjuran ini menggalakkan pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia.
“Program ini bukan sahaja dapat mempromosikan sektor pelancong tetapi juga dijadikan tempat untuk memperkenalkan lagi budaya Melanau.
“Pertukaran budaya dapat dilakukan menerusi musik, tarian, seni tradisional dan aktiviti komuniti yang turut diadakan melalui aktiviti dalam program ini.
“Persembahan daripada Alffy Rev bersama-sama Novia Bachmid dan Farhad pada malam 24 Oktober ini juga menjadi daya penarik pengunjung, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media SNF26 bertempat di Petanak Beach Chalet dan Cafe (PBCC), hari ini.
Sehubungan itu, Faydzyah turut berkongsi berkenaan beberapa aktiviti yang bakal berlangsung semasa festival kali ini.

Menurutnya, aktiviti seperti Pasar Nusantara dapat memberi pendedahan berkaitan makanan tradisi Melanau dan Jawa kepada para pengunjung.
“Selain itu, kita juga mengadakan bengkel batik dan bengkel menganyam Melanau.
“Aktiviti bermukun juga bakal diadakan demi meraikan komuniti setempat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Faydyzah berkata, pengunjung boleh hadir secara percuma pada 21, 22, 23 dan 25 Oktober dengan membuat pendaftaran melalui platform ‘Ticket2U’.
“Bagaimanapun, pengunjung hanya perlu membayar untuk menyaksikan persembahan daripada penyanyi jemputan pada 24 Oktober sahaja.
“Pas siang dan Patehan berharga RM85 merangkumi akses ke sesi siang, pengalaman Patehan Diraja Nusantara serta persembahan langsung Novia Bachmid.
“Pas malam pula ditawarkan pada harga RM88, meliputi akses ke Malam Persembahan Alffy Rev bersama-sama Novia Bachid dan Farhad pada serta kawasan festival bagi sesi malam,” ujarnya.
Di samping itu, bagi pengunjung yang mahu menikmati keseluruhan program pada hari berkenaan, pas Gemilang Nusantara ditawarkan pada harga RM145.
Tiket berbayar dan pendaftaran percuma boleh diperolehi menerusi laman web Ticket2U.com.my
Oleh Adibfahmy




