Konvensyen JCI Malaysia 2026 himpun 1,500 delegasi di Sibu

Facebook
WhatsApp
UNTUK KENANGAN... Chua merakam kenangan pada malam sambutan Konvensyen Kebangsaan JCI Malaysia 2026 di Hotel Kingwood, malam tadi.

SIBU, 23 Oktober: Kira-kira 1,500 delegasi dari seluruh negara menyertai Konvensyen Kebangsaan Junior Chamber International (JCI) Malaysia 2026 di Sibu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, konvensyen itu menjadi platform kepada pemimpin muda untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan antara peserta dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Penganjuran program konvensyen ini turut memberi peluang kepada delegasi dari luar Sarawak mengenali keunikan budaya, makanan, tradisi dan kepelbagaian masyarakat negeri ini, khususnya di Sibu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa pada malam sambutan Konvensyen Kebangsaan JCI Malaysia 2026 di Hotel Kingwood, malam tadi.

Tiong berkata, JCI memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang bertanggungjawab, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Katanya, kepimpinan sebenar bukan sekadar memegang jawatan atau gelaran, sebaliknya menuntut keberanian memikul tanggungjawab, kesediaan mendengar pandangan serta keupayaan membawa perubahan positif.

“Malaysia memerlukan pemimpin muda yang berani menghadapi perubahan, inovatif, berdaya tahan, berfikiran terbuka dan bersedia memikul tanggungjawab.

“Saya percaya JCI mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi pemimpin seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), perubahan landskap perniagaan global serta cabaran berkaitan kelestarian, pekerjaan dan pendidikan menuntut golongan muda supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri.

“Sehubungan itu, pembangunan masa depan negara memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti dan golongan belia,” katanya.

Beliau turut menggalakkan ahli JCI memanfaatkan konvensyen itu untuk meneroka peluang kerjasama, memperluas jaringan profesional serta melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Jangan hanya menunggu peluang, sebaliknya cipta peluang sendiri. Gunakan pengetahuan, kemahiran dan jaringan yang dimiliki untuk membangunkan perniagaan, mewujudkan pekerjaan serta menyumbang kepada Malaysia yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Tiong menegaskan kejayaan seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat dan perubahan positif yang dibawa dalam kehidupan orang lain.

“Jaringan JCI merupakan kekuatan penting dalam menyatukan golongan muda daripada pelbagai negeri, latar belakang budaya dan bidang profesional,” ujarnya lagi.

Beliau berharap semua delegasi dapat membina hubungan berkekalan menerusi konvensyen itu, selain memanfaatkan peluang untuk mengenali keunikan budaya serta keramahan masyarakat Sibu.

Turut hadir Presiden Kebangsaan JCI Malaysia JCI Senator Vincent Leng dan Presiden JCI Sibu, Elden Lau serta yang lain.

Oleh Akun Giman