KUCHING, 22 Oktober: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh dan mentransformasikan Mahkamah Bumiputera bagi memastikan pentadbiran undang-undang adat kekal relevan, profesional dan diyakini masyarakat seiring kemajuan pesat negeri ini.
Komitmen tersebut ditegaskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Memperluas Horizon Pluralisme Perundangan 2026 di Auditorium Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF), hari ini.
Menurut beliau, usaha pembaharuan Mahkamah Bumiputera telah giat dilaksanakan menerusi kajian menyeluruh melibatkan struktur organisasi, operasi, pengurusan, bidang kuasa serta kerangka perundangan institusi itu.
“Pelbagai cadangan telah dikenal pasti melalui Pelan Induk yang dirangka bagi memastikan Mahkamah Bumiputera berfungsi lebih cekap, telus dan mampu memenuhi keperluan masyarakat dalam landskap semasa,” katanya.
Beliau menegaskan, pembaharuan tersebut bukan sahaja bertujuan memperkemas pengendalian kes, malah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa setiap proses perundangan dilaksanakan secara adil dan saksama.
Pada masa sama, Sarawak turut memberi penekanan kepada pemeliharaan warisan adat serta pengetahuan masyarakat pribumi yang menjadi asas identiti dan sistem kehidupan komuniti bumiputera sejak turun-temurun.
“Pengetahuan pribumi yang diwariskan melalui tradisi lisan, amalan komuniti atau rekod bertulis perlu terus dipelihara agar nilainya tidak hilang ditelan zaman dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” ujar beliau.
Dalam konteks pembangunan negeri, undang-undang adat dan pengetahuan tradisional masyarakat pribumi dilihat mempunyai peranan penting dalam pengurusan tanah adat, pemuliharaan biodiversiti, penjagaan hutan serta pembangunan ekonomi hijau yang mampan.
Persidangan selama dua hari itu menghimpunkan sarjana, hakim, pengamal undang-undang, pemimpin masyarakat, penggubal dasar dan pakar dari pelbagai negara termasuk Kanada, New Zealand, Jepun, Brazil, Filipina dan United Kingdom bagi membincangkan hak masyarakat pribumi serta hubungan antara sistem perundangan tradisional dan moden.
Premier Sarawak berharap persidangan berkenaan dapat menghasilkan penyelesaian praktikal dalam memperluas akses kepada keadilan, memperkukuh kedudukan adat dalam masyarakat moden serta meningkatkan peranan masyarakat pribumi dalam membentuk institusi yang menentukan hak dan masa depan mereka.
Persidangan itu sekali gus memperlihatkan kesungguhan Sarawak untuk muncul sebagai peneraju perbincangan global mengenai pluralisme perundangan dan pemerkasaan hak masyarakat pribumi dalam era pembangunan moden.
Oleh Adi Safarman




