Sarawak berminat timba pengalaman Lapangan Terbang Schiphol – Lee

Facebook
WhatsApp
LEE Kim Shin menerima kunjungan hormat Duta Besar Belanda ke Malaysia Michel Deelen di Kuching, hari ini.

KUCHING, 22 Oktober: Sarawak berminat untuk mempelajari pengalaman Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda dan pembangunan aerotropolis di sekitarnya dalam usaha merangka perancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA).

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata perkara itu antara yang dibincangkan semasa beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Belanda ke Malaysia Michel Deelen di sini hari ini.

Lee berkata dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menerokai peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penerbangan, pembangunan lapangan terbang, teknologi hidrogen dan penyelesaian pengangkutan baharu.

“Saya mengalu-alukan penglibatan berterusan dengan Belanda dan berharap pertemuan ini akan membuka ruang kepada kerjasama yang lebih praktikal antara Sarawak dan syarikat dari Belanda.

“Kami menghargai pengalaman dan kepakaran yang boleh ditawarkan Belanda. Kami berharap dapat memperkukuh kerjasama dan menerokai peluang yang boleh memberikan manfaat praktikal kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Lee turut mengetengahkan kerjasama sedia ada antara Sarawak dengan Belanda, khususnya penglibatan Netherlands Airport Consultants (NACO) dalam projek cadangan pembangunan NKIA.

Beliau berkata NACO, sebuah firma perunding penerbangan terkemuka dari Belanda telah dilantik oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan lapangan terbang itu.

Kajian itu disiapkan pada suku pertama 2026. – Bernama