Semua pelantikan yang dibuat dalam Kabinet Negeri adalah dalam bidang kuasa undang-undang, kata Timbalan Ketua Pemuda, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman.
Katanya, Perkara 6 (3) Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan, tidak lebih daripada 10 Menteri boleh dilantik dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Dengan penubuhan kementerian-kementerian baharu untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat, hanya dijangkakan terdapat beberapa Menteri penuh yang akan memimpin lebih daripada satu Kementerian. Antaranya termasuklah Ketua Menteri sendiri.
“Saya mohon pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chong Chieng Jen, yang merupakan seorang peguam melalui latihan, merujuk kepada Perlembagaan Negeri mengenai perkara ini daripada membuat kenyataan dan retorik tidak berasas mengenai isu itu,” tegasnya.
Beliau berkata demikian berhubung dengan kenyataan Chong semalam yang menyifatkan Kabinet Negeri Sarawak sebagai “kembung” dan terdapat “pemusatan kuasa yang belum pernah berlaku sebelum ini” di tangan Ketua Menteri.
Fazzruddin yang merupakan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, di bawah Perlembagaan Negeri, tiada had bilangan Pembantu Menteri yang akan dilantik.
“Dengan pertambahan bilangan Kementerian, pastinya juga akan ada pertambahan bilangan Pembantu Menteri.
“Saya ingin mengingatkan Pengerusi DAP Negeri bahawa masa untuk berpolitik sudah tamat memandangkan pilihan raya negeri telah pun tamat.
“Kini sudah tiba masanya wakil rakyat, sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, meneruskan kerja mereka dan menunaikan ikrar yang telah mereka lafazkan kepada pengundi,” tambahnya.
Fazzruddin yakin Kerajaan Negeri baharu di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto 34 perkara semasa pilihan raya negeri.
Menurutnya, pada penggal lepas, Ketua Menteri telah memperkenalkan lebih 100 inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat di Sarawak. Ini memastikan kebajikan rakyat Sarawak, membangunkan ekonomi negeri serta memperjuangkan pemulangan hak negeri.
“Pada masa yang sama, di bawah kepimpinannya, lebih banyak penekanan diberikan kepada pembangunan luar bandar melalui pengenalan agensi pembangunan wilayah, di samping menyediakan infrastruktur asas seperti elektrik, air terawat, jalan raya dan jambatan.
“Saya menyeru orang ramai untuk terus bersatu dan menyokong kerajaan hari ini agar ini berterusan dan untuk kepentingan rakyat diutamakan,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO