DUA gol lewat daripada Steven Bergwijn dan Memphis Depay semalam menyaksikan Belanda kembali ke pentas Piala Dunia 2022 FIFA di Qatar, ketika menyekat Norway dengan kemenangan 2-0 di Rotterdam.
Bergwijn, pemain yang paling menyerlah di bahagian sayap kanan dalam berjaya mencipta gol pembukaan selepas menerima hantaran daripada Arnaut Danjuma selepas aksi hambar sepanjang 83 minit yang menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang.
Bergwijn sekali lagi memainkan peranan penting dalam gol kedua Belanda beberapa minit kemudian, berikutan serangan balas menyaksikan dia berlari hampir sepanjang padang sebelum menghantar bola kepada Depay, yang menolak bola melepasi Orjan Nyland.
Gol ke-12 Depay dalam kempen kelayakan melengkapkan kemenangan Belanda, yang hanya memerlukan keputusan seri menentang Norway untuk menamatkan saingan Kumpulan G di hadapan Turki dan Norway.
“Mereka berpegang pada pelan permainan, mereka jauh lebih padat,” kata jurulatih Belanda, Louis van Gaal kepada penyiar awam NOS.
Van Gaal mengakui dia bimbang perkara boleh menjadi salah terutamanya selepas pasukannya seri 2-2 yang mengejutkan menentang Montenegro pada hujung minggu apabila mereka melepaskan kelebihan dua gol dalam 10 minit terakhir.
“Tetapi kami berjaya mengawal perlawanan,” tambahnya.
Kapten Belanda, Virgil van Dijk memuji pasukannya, berkata: “Ia adalah kemenangan yang mantap, kami hampir tidak memberikan mereka apa-apa.”
Penyerang Barcelona, Depay berkata ia adalah “permainan emosi”.
“Kami bermain dengan segala yang kami ada hari ini dan kembali ke pentas dunia ke Qatar,” katanya. – AFP