LSS perhebat kesedaran keselamatan, kebersihan sungai

Facebook
WhatsApp
UTAMAKAN KESELAMATAN....Dr Safiee merakamkan kenangan bersama nelayan Kampung Tengah, Daro, yang menerima sumbangan jaket keselamatan daripada LSS.

DARO, 25 Oktober: Seramai 42 nelayan Kampung Tengah di sini menerima sumbangan jaket keselamatan daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai dan laut.

Pengerusi LSS, Dr Safiee Ahmad berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan amalan keselamatan dalam kalangan pengguna sungai.

Menurutnya, sungai bukan sahaja menjadi laluan perhubungan utama bagi masyarakat di kawasan pedalaman, malah turut menjadi sumber rezeki melalui aktiviti ekonomi seperti perikanan.

Beliau berkata, meskipun akses jalan darat semakin berkembang, masih terdapat komuniti yang bergantung pada perahu panjang dan bot untuk urusan harian termasuk ke sekolah, klinik, pasar dan tempat kerja.

“Jaket keselamatan mungkin kelihatan seperti peralatan ringkas, tetapi ia boleh memainkan peranan penting dalam menyelamatkan nyawa ketika berlakunya kecemasan,” ujarnya ketika merasmikan Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Dewan Kampung Tengah, Daro, semalam.

Dr Safiee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro menyeru nelayan dan semua pengguna sungai supaya menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai amalan harian, selain memastikan perahu berada dalam keadaan baik dan tidak membawa muatan berlebihan.

Beliau memberitahu, sehingga 30 September 2026, LSS telah melaksanakan 21 Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di seluruh Sarawak dengan penyertaan seramai 2,750.

UNTUK KENANGAN….Dr Safiee merakam kenangan pada Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Dewan Kampung Tengah, Daro, semalam.

“Program berkenaan turut menyediakan platform pendidikan kepada masyarakat menerusi ceramah dan perkongsian ilmu oleh LSS, Perbadanan Perhutanan Sarawak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daro,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kebersihan sungai juga perlu diberikan perhatian kerana persekitaran yang bersih penting untuk menjaga kesihatan masyarakat, melindungi habitat hidupan akuatik serta memelihara sumber semula jadi untuk generasi akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 60 penduduk kampung dan peserta yang menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran sungai sehari sebelum program, sambil berharap usaha itu dapat diteruskan secara berkala.

Oleh Akun Giman