KUCHING, 25 Oktober: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengarahkan pihak pengurusan Rizab Semula Jadi Bukit Lima memperketat kawalan keselamatan bagi menghalang pengunjung memasuki laluan pejalan kaki yang rosak dan telah ditutup kepada orang awam.
Menurut kenyataan SFC hari ini, laluan berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian laluan lama yang ditutup sejak beberapa bulan lalu atas faktor keselamatan.
Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM38 juta di bawah Projek Rakyat bagi melaksanakan fasa kedua pembangunan rizab berkenaan, termasuk menaik taraf dan membina laluan pejalan kaki baharu.

Sebahagian peruntukan itu akan digunakan untuk menggantikan laluan lama yang rosak, dengan kerja pembinaan dan naik taraf dijangka bermula pada awal 2027.
“Laluan rosak yang dibangkitkan dalam laporan media bertajuk Bukit Lima draws walkers despite deteriorating trails hari ini merupakan sebahagian daripada rangkaian laluan lama yang telah ditutup kepada pengunjung sejak beberapa bulan lalu.
“Notis penutupan juga telah dipasang bagi memaklumkan pengunjung bahawa laluan tersebut sedang diselenggara dan tidak dibenarkan digunakan atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, SFC memaklumkan fasa pertama projek pembangunan rizab berkenaan telah siap sepenuhnya, merangkumi penyediaan kemudahan rekreasi yang lebih baik untuk pengunjung.
“Antaranya ialah laluan pejalan kaki baharu sepanjang 600 meter, laluan sepanjang dua kilometer yang dinaik taraf bagi menghubungkan pintu masuk selatan dan utara serta Pusat Sehenti yang dilengkapi kemudahan untuk pengunjung.

“Kesemua kemudahan tersebut telah dibuka secara rasmi kepada orang awam pada Julai 2026.
“Sementara menunggu pelaksanaan fasa kedua, SFC telah mengarahkan pihak pengurusan taman memperketat langkah keselamatan bagi menghalang kemasukan tanpa kebenaran ke laluan yang ditutup,” jelas kenyataan itu.
SFC turut mengalu-alukan maklum balas orang awam dan memberi jaminan bahawa usaha penambahbaikan Rizab Semula Jadi Bukit Lima dilaksanakan secara berperingkat.
“Keselamatan pengunjung, kemudahan rekreasi dan pemuliharaan ekosistem hutan paya gambut di kawasan berkenaan kekal menjadi keutamaan.
“Sehubungan itu, pengunjung diingatkan supaya mematuhi notis penutupan dan hanya menggunakan laluan yang dibenarkan untuk kegunaan awam,” menurut kenyataan itu.





