PEMAIN Sri Aman FA diingatkkan supaya jangan terlalu selesa dan mendabik dada dengan pencapaian pasukan setakat ini, sebaliknya mengekalkan prestasi terbaik untuk mengharungi laluan berliku dalam saingan Liga SSC-FAS musim ini.
Ketua Jurulatih Sri Aman FA, Sufian Ibrahim menjelaskan ia juga bukan tiket buat skuad diberi gelaran ‘The Sleeping Croc’ itu berasa gah terlebih dahulu dengan pencapaian yang ada sekarang, sebaliknya mengakui masih banyak kelemahan yang harus diatasi skuad itu.
“Namun, masih banyak kelemahan menghantui pasukan ini dan perkara ini dalam perhatian kami barisan kejurulatihan untuk memperbetulkannya. Memang kemenangan dalam setiap perlawanan amat mustahak untuk kita mencongak hala tuju pasukan selepas ini.
“Saya turut mengingatkan pemain bahawa pemain tidak harus leka dengan pencapaian yang ada sekarang. Fokus utama pasukan adalah melayakkan diri ke pusingan ‘Grand Finale’ di Bintulu nanti, saya percaya Sri Aman akan berikan yang terbaik,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Sufian turut mengingatkan pemain agar tidak memandang mudah aksi berdepan Sarikei FA di Kompleks Sukan Sri Aman, Sabtu ini bagi mengelakkan sebarang keputusan yang tidak diingini berlaku.
Malah beliau turut menyifatkan skuad Bandar Nenas itu sebagai antara pasukan yang dilihat mampu memberikan cabaran besar kepada skuadnya pada saingan Liga SSC-FAS musim ini.
“Kita sedar akan cabaran yang akan dihadapi itu. Kami telah melakukan persiapan dan perbaiki kelemahan di beberapa sudut. Jadi saya harap, pemain tidak ambil mudah dengan perlawanan menentang Sarikei FA petang Sabtu ini,” ujarnya sambil berharap pemain dapat memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.
Namun Sufian percaya gandingan beliau bersama dua lagenda Ngap Sayot, Ramos Sari dan Ramles Sari mempunyai ramuan tersendiri untuk menghadapi lawan itu, sekaligus memastikan tiga mata dalam genggaman pasukannya pada aksi minggu ini.
“Dengan kemenangan yang diraih pada aksi minggu ini, saya percaya Sri Aman FA akan merapatkan lagi jurang mata dengan pasukan-pasukan lain di Zon Tengah, sekaligus layak ke pusingan ‘Grand Finale’.
“Saya percaya pemain Sri Aman FA yang diketuai oleh kapten, Abang Nur Afirman Abang Norazman akan berjuang habis-habisan untuk memburu kemenangan pada perlawanan yang dianggap penting minggu ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sri Aman FA kini berada di kedudukan teratas Zon Tengah Liga SSC-FAS 2021 dengan mengumpul sebanyak 10 mata hasil tiga kemenangan dan sekali seri.