RM325,000 disalurkan kepada 39 sekolah di Parlimen Batang Lupar

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Shafizan Kepli pada Program EDUCARE: Temu Mesra Bersama Pengetua, Guru Besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berlangsung di Bandar Raya Kuching. Foto Mohamad Shafizan Kepli

KUCHING, 25 Oktober: Sebanyak 39 sekolah di kawasan Parlimen Batang Lupar menerima sumbangan keseluruhan RM325,000 menerusi Program EDUCARE: Temu Mesra Bersama Pengetua, Guru Besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berlangsung di sebuah hotel di Kuching semalam.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, program berkenaan dianjurkan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah, PIBG dan Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dalam usaha memperkasa agenda pendidikan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama kukuh antara semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada pelajar.

“Program ini bukan sahaja menjadi wadah pertemuan dan perkongsian pandangan, malah memperlihatkan komitmen berterusan dalam menyokong keperluan sekolah serta memperkasakan peranan PIBG sebagai rakan strategik institusi pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Mohamad Shafizan berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program PIBG yang memberi impak positif kepada pembangunan akademik serta sahsiah murid.

Beliau berkata, PIBG memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah, sekali gus mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih kondusif serta menyokong kecemerlangan pelajar.

“Penglibatan aktif ibu bapa dalam pendidikan anak-anak merupakan antara faktor utama yang mampu meningkatkan prestasi dan membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berharap sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak sekolah untuk memperkukuh program pendidikan dan kebajikan pelajar, seterusnya melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Oleh Adi Safarman