Empat tahun lapan bulan, banyak projek berjaya direalisasikan di Kampung Kupang – Mohamad Duri

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan memancing. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK, 25 Oktober: Pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan di Kampung Kupang sejak empat tahun lapan bulan lalu telah membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.

Menurut beliau, sepanjang penggal pertama beliau mewakili DUN Kalaka, sejumlah projek pembangunan berjaya disiapkan hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, antara projek yang telah siap dilaksanakan ialah pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Hulu yang kini menjadi pusat aktiviti komuniti dan tempat pelbagai program kemasyarakatan dianjurkan.

MOHAMAD Duri semasa menghadiri Program Malaysiaku Edisi Ketiga (V3) 2026 Kupang Strike Pesta Joran Malaysiaku 2026. Foto: ADUN Kalaka

Selain itu, sistem perparitan di beberapa kawasan kampung turut dinaik taraf bagi mengatasi masalah saliran dan mengurangkan risiko banjir kilat yang boleh menjejaskan penduduk.

Menurutnya lagi, beberapa jalan lorong di kampung tersebut juga telah dinaik taraf kepada jalan konkrit bagi memberikan keselesaan serta kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada pengguna.

Dalam usaha memperkasakan aktiviti riadah dan sukan, padang bola sepak kampung turut dinaik taraf manakala sebuah gelanggang Petanque baharu dibina di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang.

Mohamad Duri berkata, kemudahan lampu jalan berkuasa solar turut dipasang di kawasan yang memerlukan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk terutama pada waktu malam.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa rumah penduduk yang memerlukan bantuan telah dibaik pulih menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), sekali gus memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada golongan sasar.

Katanya, semua projek yang berjaya dilaksanakan itu adalah hasil pembiayaan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi serta Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO).

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa projek pembinaan Jalan Kupang ke Simpang Bajau kini berjalan lancar dan dijangka siap pada September 2027.

Menurut maklumat yang diterimanya daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), kemajuan semasa projek berkenaan telah melebihi 64 peratus, sekali gus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Mohamad Duri turut mengumumkan bahawa projek pembinaan Jambatan Krian 2 di Tanjung Kalimah, Kampung Pagan kini berada pada fasa akhir sebelum pelaksanaan selepas proses tender ditutup pada 29 September lalu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Malaysiaku Edisi Ketiga (V3) 2026 Kupang Strike Pesta Joran Malaysiaku 2026 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kupang Hilir dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kalaka.

Program yang berlangsung itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka, manakala acara kemuncaknya ialah pertandingan memancing yang diadakan di Tebingan Sungai Krian dekat Kampung Kupang Hilir.

Beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas komitmen tinggi yang ditunjukkan sehingga program tersebut berjaya dilaksanakan dalam suasana penuh meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Alhamdulillah, JKKK Kampung Hilir Kupang telah memainkan peranan yang sangat baik dalam memastikan aktiviti sihat seperti ini dapat diteruskan. 

“Lebih membanggakan, program ini mendapat penyertaan semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia, warga emas dan murid sekolah rendah,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Pemanca Lim Guan Ann, Penghulu Misis Aris, Kaunselor Aton Tar, ketua-ketua kaum serta komuniti Kampung Kupang yang bersama-sama memeriahkan program berkenaan.

Oleh Adi Safarman