KUALA LUMPUR, 26 November: Atlet wanita negara bakal kembali berpeluang mewakili Malaysia dalam sukan elektronik (e-sukan) di pentas antarabangsa menerusi penubuhan semula pasukan e-sukan wanita kebangsaan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2027.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pasukan itu akan membabitkan 12 atlet dalam dua kategori permainan, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan Honor of Kings.
Beliau berkata langkah itu merupakan antara usaha memperkukuh pembangunan e-sukan negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada atlet wanita untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita melihat bahawa e-sukan sekarang ini bukan lagi sekadar sukan ataupun permainan semata-mata. Tetapi sekarang ini ia adalah suatu bentuk industri, kita lihat adanya software developer yang boleh kita lahirkan dan sebagainya.
“Sebab itu, kita memandang serius berkaitan dengan e-sukan ini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.
Berikutan itu, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS sedang membangunkan garis panduan e-sukan dengan kerjasama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan kementerian berkaitan bagi memastikan industri itu berkembang secara positif dan sihat.
“Kita juga berbincang dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkaitan bagaimana e-sukan ini boleh membawa ke arah yang lebih positif, kerana kalau kita lihat berkaitan dengan gaming juga boleh membawa kepada hal-hal yang negatif, ekstremisme dan sebagainya.
“Sebab itu kita membangunkan garis panduan yang jelas ini supaya dapat e-sukan yang lebih positif dan juga lebih sihat lagi,” katanya.
Beliau berkata antara kemudahan latihan yang disediakan ialah Esports Integrated Hub di Space Rubik, Puchong, Selangor, pusat latihan kebangsaan di Casa 1, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil serta 13 studio e-sukan di peringkat negeri.
Katanya, KBS turut memberi perhatian terhadap keperluan memastikan peranti latihan sentiasa dikemas kini bagi menyokong pembangunan bakat atlet.
Mengulas pencapaian sukan itu, Dr Mohammed Taufiq berkata Malaysia turut mencipta sejarah apabila meraih pingat emas e-sukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun menerusi Taj Izrin Aiman Taj Madira dalam acara Gran Turismo 7 hasil sokongan Program Podium MSN.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM40.1 juta diperuntukkan pada 2027 bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan serta fasiliti di bawah KBS.
Beliau berkata senarai dan jumlah fasiliti yang terlibat masih dalam proses pemuktamadan berdasarkan tahap kerosakan, keperluan penyelenggaraan serta keutamaan kerja kritikal dan mendesak bagi memastikan kemudahan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq berkata kerja baik pulih Stadium Hoki Haji Mohd Syed, Seremban 2 mencatat kemajuan fizikal sembilan peratus setakat 29 Oktober lepas, berbanding 30.65 peratus mengikut jadual, iaitu kelewatan 21.65 peratus atau 22 hari.
Bagi cadangan pembinaan Kompleks Sukan Mini di Chua, Port Dickson, beliau berkata ia tidak mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan KBS akan mengemukakan semula permohonan projek itu.
“Insya-Allah, tahun hadapan kita akan menganjurkan Sukan SEA 2027 di negara kita dan ingin memastikan penganjuran itu menjadi antara yang terbaik, sekali gus membuktikan Malaysia kekal harum di persada dunia,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM1,212,696,800 bagi KBS dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 19 Ahli Parlimen. – Bernama





