PETRA JAYA, 25 November: Kuching City FC tidak mempunyai pilihan selain memburu kemenangan apabila melayan kunjungan Phnom Penh Crown FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, kemenangan amat penting bagi memastikan skuad The Cats terus bersaing merebut dua kedudukan teratas kumpulan sekali gus melayakkan diri ke pusingan 16.
Beliau berkata, pemain memahami kepentingan perlawanan itu dan perlu mengekalkan momentum positif selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan liga serta piala.
Menurutnya, setiap perlawanan tetap dianggap penting dan pasukan akan berusaha memberikan persembahan terbaik tanpa mengira kekuatan lawan.
“Kami sentiasa merancang dan berusaha untuk menang dalam setiap perlawanan. Bagi kami, setiap perlawanan adalah penting kerana kami mahu mengekalkan momentum kemenangan.
“Esok merupakan satu lagi perlawanan berbeza dan kami mahu membalas sokongan penyokong dengan menunjukkan persembahan lebih baik,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Taha Ariffin di sini, hari ini.
Aidil berkata, pertemuan kali ini juga berbeza berbanding aksi pertama menentang Phnom Penh Crown apabila Kuching City berdepan masalah kecederaan serta jadual perjalanan yang padat ketika itu.
Katanya, pemain kini mempunyai tempoh rehat dan persiapan lebih baik, sekali gus memberi keyakinan kepada pasukan untuk menghadapi cabaran wakil Kemboja itu.
Mengulas kekuatan lawan, Aidil menyifatkan Phnom Penh Crown sebagai pasukan berkualiti yang memiliki pemain bekerja keras serta perancangan taktikal tersusun.
Bagaimanapun, beliau melihat peluang untuk Kuching City mengambil kesempatan terhadap prestasi lawan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Aidil turut mengharapkan kehadiran penyokong memenuhi stadium bagi memberikan suntikan semangat kepada pemain, khususnya ketika berdepan tekanan sepanjang perlawanan.
“Apabila bermain di laman sendiri, kami amat memerlukan sokongan mereka. Kami mahu semua bersatu sebagai satu keluarga dan berharap dapat membalas sokongan itu dengan keputusan serta persembahan yang baik,” katanya.
Kuching City kini berada di tangga ketiga Kumpulan H dengan empat mata selepas mengharungi empat perlawanan, manakala Phnom Penh Crown mendahului kumpulan dengan sembilan mata.
Dengan hanya dua perlawanan berbaki, kemenangan esok amat penting buat The Cats untuk terus mencabar kedudukan dua teratas kumpulan.
Oleh Shahrul Qaizat




