Sukan ISG 2029: Kapasiti penginapan jadi perhatian awal Sarawak – Abdul Kairm

Facebook
WhatsApp
Kapasiti penginapan menjadi antara keutamaan Sarawak menjelang penganjuran Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2029 yang dijangka menghimpunkan delegasi dari 57 negara anggota OIC. Foto UKAS

KUCHING, 26 November: Penyediaan kapasiti penginapan menjadi antara aspek awal diberi perhatian menjelang penganjuran temasya Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2029 di Sarawak yang dijangka menghimpunkan delegasi daripada 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penganjuran temasya berkenaan turut dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam diplomasi sukan dan pelancongan negeri. 

“Putera Mahkota Arab Saudi (Mohammed bin Salman) juga dijangka hadir. Saya dapat merasakan minat negara-negara anggota ketika menerima watikah (hak penganjuran ISG 2029).

“Apabila mereka mengetahui temasya itu akan berlangsung di Sarawak, di Borneo, kita buat video kita tunjuk di mana kita dan apa yang ada di Sarawak, ramai antara mereka begitu berminat untuk datang,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata sebagai tuan rumah, Sarawak terbuka untuk menyalurkan bantuan pembiayaan bagi memudahkan penyertaan beberapa negara kecil, khususnya di benua Afrika, berikutan potensi kesan limpahan daripada sudut pelancongan.

“Bagi sesetengah negara Afrika, kita mungkin perlu membiayai penyertaan mereka… kalau tidak silap saya, terdapat 22 negara kecil. Namun, kita telah memaklumkan kepada penganjur, iaitu Arab Saudi yang memegang hak penganjuran, bahawa kita tidak keberatan untuk membantu kerana manfaat limpahan dari segi pelancongan,” katanya.

Mengulas isu penyediaan penginapan, beliau berkata kehadiran puluhan ketua negara serta delegasi luar memerlukan penyelarasan teliti termasuk kemungkinan penempatan secara berkongsi mengikut kapasiti hotel sedia ada di negeri ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih mempunyai ruang masa yang panjang untuk menilai dan menyusun perancangan tersebut memandangkan temasya itu dijadualkan pada 2029 serta mengambil kira situasi semasa di Asia Barat.

Pada September lepas, Sarawak dilaporkan memperoleh hak penganjuran itu ketika lawatan Abdul Karim ke Taif, Arab Saudi yang menyaksikan satu perjanjian dimeterai.- Bernama