Pele rayu pengundi Krian, Kalaka dan Kabong kekalkan mandat GPS

Facebook
WhatsApp
SENATOR Pele Peter Tinggom.

SARATOK, 26 November: Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom menyeru seluruh pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Kalaka dan Kabong supaya memberikan mandat serta sokongan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Beliau berkata, sokongan terhadap calon GPS amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kemakmuran berterusan, khususnya di kawasan Saratok.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua tahun sembilan bulan sebagai Senator yang mewakili GPS di Parlimen Malaysia, beliau mengambil kesempatan untuk turun padang dan mendekati masyarakat di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Katanya, tidak kurang daripada 300 rumah panjang dan kampung telah dikunjunginya menerusi pelbagai program serta aktiviti kemasyarakatan, termasuk majlis merarau, ngopi petang, menziarahi penduduk yang sakit dan menyampaikan penghormatan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Pengalaman turun padang itu, katanya, memberikan peluang kepadanya untuk melihat sendiri perkembangan kawasan selain mendengar pelbagai pandangan, keluhan dan rintihan masyarakat setempat.

“Hasil pemerhatian dan interaksi bersama masyarakat, saya mendapati pembangunan di kawasan Saratok telah menunjukkan kemajuan yang ketara, dengan pelbagai projek telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan lebih banyak lagi dalam perancangan,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan tersebut merupakan hasil kepercayaan serta sokongan berterusan rakyat terhadap kerajaan GPS, di samping komitmen wakil rakyat GPS yang diberikan mandat untuk berkhidmat kepada masyarakat di DUN Krian, Kalaka dan Kabong.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada seluruh pengundi di DUN Kalaka, Krian dan Kabong supaya memberikan sokongan kepada calon-calon GPS yang telah dipilih oleh pucuk pimpinan parti pada hari pengundian, 12 Disember ini.

Beliau turut berharap masyarakat yang pernah berinteraksi dengannya sepanjang tempoh beliau menyantuni penduduk di kawasan berkenaan dapat bersama-sama menyokong usaha meneruskan agenda pembangunan Sarawak.

“Undilah calon GPS demi kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kemakmuran yang berterusan di Sarawak, khususnya di Krian, Kalaka dan Kabong,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar segala urusan ketiga-tiga calon GPS dipermudahkan menjelang Hari Penamaan Calon pada 28 November ini.

Oleh Adi Safarman