Aidil puji disiplin, kesungguhan The Cats selepas benam Phnom Penh 3-0

Facebook
WhatsApp

PETRA JAYA, 26 November: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji disiplin, kesungguhan dan peningkatan prestasi anak buahnya selepas The Cats mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Phnom Penh Crown FC dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2), malam ini.

Beliau berkata, kemenangan itu merupakan hasil kerja keras pemain sepanjang sesi latihan dan perlawanan, selain memperlihatkan perkembangan positif pasukan yang semakin menunjukkan konsistensi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Menurutnya, aspek disiplin, keinginan untuk menang serta kemampuan mengekalkan rekod tanpa bolos menjadi antara perkara yang membanggakan dalam persembahan pasukan kali ini.

“Syukur alhamdulillah. Saya mahu memberikan kredit kepada semua pemain kerana mereka bekerja keras dalam latihan dan perlawanan. Hari ini kita dapat melihat mereka memberikan segala-galanya di atas padang.

“Pasukan ini semakin berkembang dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan kita mahu meneruskan momentum ini, bukan berhenti setakat ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Aidil turut menegaskan kejayaan Kuching City bukan bergantung kepada kesebelasan utama semata-mata, sebaliknya sumbangan keseluruhan pemain termasuk mereka yang masuk sebagai pemain gantian.

Beliau menyifatkan persaingan sihat dalam pasukan sebagai perkembangan positif apabila pemain gantian turut mampu mengubah corak permainan dan memberikan impak kepada keputusan perlawanan.

Sementara itu, penyerang Kuching City, Safawi Rashid yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (Man of the Match) buat kali kedua berturut-turut, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerjasama seluruh pasukan.

Safawi yang turut meledak gol pembukaan The Cats berkata, sokongan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk terus memberikan persembahan terbaik.

Beliau bagaimanapun mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi peribadinya dan mahu terus memperbaiki permainan menerusi latihan harian.

“Saya bangga dengan rakan sepasukan dan jurulatih yang sentiasa memberikan semangat antara satu sama lain. Kemenangan malam ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk seluruh pasukan,” katanya.

Mengulas pertemuan seterusnya menentang Kitchee SC di Hong Kong pada 3 Disember ini, Safawi berkata pasukan akan memberikan tumpuan kepada proses pemulihan sebelum kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi aksi penting itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Phnom Penh Crown FC, Oleg Starynskyi mengakui kekalahan 3-0 itu agak sukar diterima, sambil berpendapat keputusan tersebut tidak sepenuhnya menggambarkan perjalanan perlawanan.

Jurulatih dari Ukraine itu berkata anak buahnya berjaya memperkemaskan organisasi permainan pada separuh masa kedua dan mula menghasilkan beberapa peluang untuk mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui jaringan kedua Kuching City menerusi serangan balas menjadi detik penting yang menyukarkan usaha pasukannya untuk kembali dalam permainan.

“Saya tidak fikir kami layak tewas 3-0. Pada separuh masa kedua, kami berjaya menyusun permainan dengan lebih baik, menghentikan serangan mereka dan mula menghasilkan beberapa peluang berbahaya.

“Namun, mereka menghukum kami menerusi satu serangan balas dan jaringan kedua itu menyukarkan keadaan,” katanya.

Starynskyi turut memberikan pengiktirafan kepada barisan pertahanan Kuching City yang disifatkannya beraksi dengan sangat baik, khususnya dalam mengekang pergerakan penyerang Phnom Penh Crown sepanjang perlawanan.

Beliau berkata pasukannya masih mempunyai peluang untuk meneruskan kemaraan, namun mengakui saingan Kumpulan H cukup sengit dengan setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.

Kuching City selepas ini bakal berkunjung ke Hong Kong untuk menentang Kitchee SC di Mong Kok Stadium pada 3 Disember ini dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, dengan kemenangan menjadi sasaran bagi memburu slot ke pusingan 16 ACL2.

Oleh Afiq Sallehi

Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 26 November: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027, selepas dibentangkan Perdana Menteri yang