ACL2: The Cats menang bergaya 3-0 ke atas Phnom Penh Crown FC!

Facebook
WhatsApp
THE Cats mengesahkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Phnom Penh Crown FC dalam aksi ACL2 di Stadium Taha Ariffin, malam ini. Tumpuan seterusnya beralih ke Hong Kong apabila Kuching City bakal berdepan Kitchee SC pada 3 Disember ini.

PETRA JAYA, 26 November: Kuching City FC menang bergaya apabila membenam wakil Kemboja, Phnom Penh Crown FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Kemenangan di hadapan 2,684 penonton itu menyaksikan The Cats mempamerkan aksi menyerang sejak awal perlawanan, dengan penyerang Ajdin Mujagić hampir membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi tandukan yang terkena tiang gol.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terus memberikan tekanan apabila menghasilkan dua percubaan dalam tempoh 10 minit pertama, sebelum Mujagić sekali lagi berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-11, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Phnom Penh Crown turut cuba memberikan saingan, namun barisan pertahanan tuan rumah berjaya mengawal ancaman pasukan pelawat.

Kebuntuan akhirnya dipecahkan pada minit ke-32 apabila Safawi Rashid menyudahkan bola hantaran ke dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Phnom Penh Crown, Um Vichet, sekali gus meletakkan Kuching City di hadapan 1-0.

Bagaimanapun, Phnom Penh hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38, namun penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya tersebut.

Kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan dengan Kuching City mendahului 1-0, manakala masing-masing menerima kad kuning pada separuh masa pertama menerusi Orn Chanpolin pada minit ke-25 dan Muhammad Ramadhan pada minit ke-45.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan terus meningkatkan tekanan dengan beberapa percubaan dilakukan bagi memburu jaringan tambahan.

Kuching City menerima kad kuning menerusi Kaishu Yamazaki pada minit ke-64, manakala seorang pemain Phnom Penh Crown turut dilayangkan kad kuning pada minit ke-70.

Perlawanan itu dikendalikan pengadil dari Qatar, Mohammed Al-Shammari.

Aidil Sharin kemudian melakukan pertukaran dengan memasukkan Jerome Mpacko Etame bagi menggantikan Safawi Rashid pada minit ke-74.

Pertukaran itu membuahkan hasil apabila  Etami hanya memerlukan seminit selepas memasuki padang untuk menjaringkan gol kedua Kuching City pada minit ke-75.

Jaringan itu terhasil menerusi hantaran lintang Ajdin Mujagić ke dalam kotak penalti yang disudahkan dengan baik oleh Etami untuk mengubah kedudukan kepada 2-0.

Kuching City terus memberikan tekanan pada baki perlawanan sebelum Petrus Shitembi turut menerima kad kuning pada minit ke-83.

Tiga minit masa tambahan diberikan sebelum Dylan Wenzel-Halls melengkapkan kemenangan bergaya The Cats menerusi jaringan ketiga pada minit ke-90+2.

Wenzel-Halls mempamerkan aksi individu menerusi gerakan solo sebelum memperdayakan penjaga gol lawan untuk memastikan Kuching City menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City melonjak ke tangga kedua Kumpulan H dengan tujuh mata, manakala Phnom Penh Crown FC kekal menerajui kumpulan dengan sembilan mata.

Kitchee SC yang kini berada di tangga ketiga dengan enam mata bakal menjadi lawan terakhir Kuching City di peringkat kumpulan apabila kedua-dua pasukan bertemu di Mong Kok Stadium, Hong Kong pada 3 Disember ini dalam perebutan dua slot ke pusingan 16 ACL2.

Oleh Afiq Sallehi