PETRA JAYA, 25 November: Calon termuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Nur Fatin Syafawani Tahamat, 34, mahu memberi penekanan kepada pembangunan wanita dan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N71 Bekenu.
Beliau berkata, antara keutamaannya adalah memastikan golongan belia di kawasan itu tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan serta mengikuti perkembangan semasa.
“Saya mahu membawa belia-belia di N71 Bekenu supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan dan segala perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Nur Fatin turut menyatakan hasrat untuk meneruskan legasi penyandang terdahulu, Datuk Rosey Yunus, yang disifatkannya sebagai pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan kawasan N71 Bekenu.
“Saya banyak mengikuti perjalanan politik beliau dan melihat sumbangan yang telah diberikan kepada Bekenu.
“Banyak pembangunan telah dilaksanakan dan kita sebagai rakyat di kawasan ini amat menghargai segala sumbangan beliau,” katanya.
Menurutnya, beliau akan meneliti keperluan penduduk di kawasan itu dengan lebih terperinci bagi mengenal pasti perkara yang masih boleh ditambah baik, termasuk memperkukuh program pembangunan wanita yang telah diperkenalkan sebelum ini.
“Saya juga mahu memberi penekanan yang lebih kepada program-program wanita beliau,” katanya.
Nur Fatin yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pernah berkhidmat sebagai jurutera kanan di Sarawak Energy berkata, beliau melihat pencalonan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan sebaik mungkin.
Beliau yang berasal dari Kampung Kelulit, Bekenu berasa amat berbesar hati dan bangga kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi calon GPS bagi kerusi berkenaan.
Oleh Clarissa Ima Kevin Nila





