Tiada kawasan panas dikenal pasti menjelang PRN Sarawak

Facebook
WhatsApp
DITEMUI MEDIA…Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan November 2026 hari ini. Foto IPK Sarawak

KUCHING, 25 November: Tiada kawasan panas atau lokasi berisiko tinggi dikenal pasti setakat ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, beliau berharap suasana aman dan harmoni yang dicatatkan pada pilihan raya terdahulu di Sarawak dapat dikekalkan sepanjang PRN kali ini.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan polis dalam memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan aman, tertib dan selamat.

“Setakat ini, saya berpuas hati. Kami telah mengadakan mesyuarat penyelarasan, sesi penerangan serta sesi taklimat bersama semua agensi terlibat semalam.

“Semua ini telah dilaksanakan di peringkat kontinjen dan melibatkan semua Ketua Polis Daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan November 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Saifullizan berkata, seramai 4,899 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di seluruh Sarawak pada hari penamaan calon, Sabtu ini.

Katanya, seramai 7,541 pegawai dan anggota polis pula akan digerakkan ke semua pusat pengundian pada 12 Disember depan.

Penugasan berkenaan turut dibantu 251 pegawai dan anggota polis dari luar kontinjen, terdiri daripada 54 anggota dari Bukit Aman dan 197 anggota dari Kontinjen Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semua pegawai dan anggota polis yang terlibat perlu memahami peruntukan undang-undang serta bidang tugas masing-masing.

Menurutnya, setiap tindakan sepanjang PRN berkenaan mesti dilaksanakan secara neutral, adil dan profesional.

Dari aspek logistik, Saifullizan berkata, pihaknya turut menerima peruntukan tambahan bagi menyewa aset pengangkutan termasuk bot dan bas bagi melancarkan penugasan, khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, dua helikopter sedia ada di Sarawak mencukupi bagi memenuhi keperluan penugasan sepanjang PRN berkenaan, namun penambahan bot dan kenderaan masih diperlukan. 

Oleh Norman B