PETRA JAYA, 25 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyaksikan perubahan barisan calon apabila 11 muka baharu diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dengan 10 kerusi menyaksikan pertukaran daripada penyandang terdahulu kepada calon baharu.
Antara penyandang yang tidak mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Idris Buang di DUN Muara Tuang, Awla Idris (Simunjan), Datuk Razaili Gapor (Beting Maro), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Datuk Mohd Chee Kadir (Kabong).
Tempat mereka masing-masing digantikan Dr Dayang Nurfizawati binti Abang Abdul Karim di Muara Tuang, Yussuf Chik (Simunjan), Awang Nashfarini Awang Sarbini (Beting Maro), Leonard Libau anak Anol (Simanggang) Nor-E-Fadzwie Salleh (Kabong).
Di kawasan tengah Sarawak, penyandang DUN Ngemah, Anyi Jana dan Pelagus, Wilson Nyabong Ijang turut tidak disenaraikan semula apabila GPS mengetengahkan Alexander Donald dan Cerisologo Sabut bagi menggantikan mereka.
Sementara itu, kerusi Bekenu menyaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, digantikan Nurfatin Syafawani Tahamat, manakala penyandang Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, digantikan Datuk Jack Liam.
Pertukaran turut berlaku di Bawang Assan apabila penyandangnya, Datuk Seri Wong Soon Koh, tidak disenaraikan sebagai calon baharu GPS selepas meletakkan jawatan dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), dengan kerusi itu kini diberikan kepada Kevin Lau Kor Jie.
Satu lagi muka baharu yang diketengahkan ialah Wung Duk Ing bagi kerusi Padungan.
Bagaimanapun, kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi DAP dan bukan kerusi yang disandang GPS, justeru pencalonan itu merupakan usaha GPS menampilkan calon baharu untuk merebut kerusi berkenaan.
Secara keseluruhan, perubahan itu memperlihatkan usaha GPS melakukan pembaharuan dalam barisan kepimpinannya, dengan memberi peluang kepada calon baharu untuk membawa pendekatan dan aspirasi masing-masing di kawasan yang bakal ditandingi.
Tumpuan kini terarah kepada kemampuan 11 calon berkenaan untuk mendapatkan kepercayaan pengundi, khususnya di kerusi yang sebelum ini mempunyai rekod sokongan terhadap penyandang lama.
Oleh SHAHRUL QAIZAT



