Perarakan Krismas 2026 di Marudi meriah

Facebook
WhatsApp
MERIAH…Pertandingan kereta berhias sempena Perarakan Krismas 2026, Marudi. Foto Jiku Juguong

MARUDI, 22 November: Kira-kira 500 peserta daripada pelbagai denominasi Kristian menyertai Perarakan Krismas Marudi 2026 di sini, malam tadi.

Perarakan itu disertai Gereja Roman Katolik Good Shepherd Marudi, Borneo Evangelical Mission (BEM) Marudi dalam kalangan jemaah berbahasa Melayu dan Mandarin, Gereja Anglikan serta Gereja Methodist Marudi.

Pengerusi Perarakan Krismas Marudi 2026, Rev Father Pilu Gumba daripada Gereja Anglikan berkata, perarakan itu menghimpunkan komuniti Kristian untuk meraikan Krismas bersama-sama sambil menyampaikan mesej kasih sayang dan keharmonian kepada penduduk Marudi.

Mewakili komuniti Kristian di Marudi, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, atas sokongan berterusan kepada komuniti berkenaan.

PEMENANG Pertandingan Kereta Berhias merakam gambar kenangan. Foto Jiku Juguong

Katanya, dorongan dan sokongan kewangan Penguang membantu menjayakan perarakan itu serta pelbagai kegiatan gereja di kawasan berkenaan.

Pilu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas sokongannya kepada masyarakat pelbagai agama, termasuk menerusi peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Menurutnya, peruntukan keseluruhan UNIFOR bagi 2026 mencecah RM120 juta, meliputi RM90 juta untuk rumah ibadat agama lain dan RM30 juta untuk sekolah mubaligh di seluruh Sarawak.

Katanya, peruntukan itu membantu membiayai pembinaan, baik pulih dan kerja menaik taraf gereja serta sekolah mubaligh, termasuk di kawasan seperti Marudi.

“Keharmonian beragama dan perpaduan antara kaum yang kita nikmati di Marudi hari ini adalah aset yang paling berharga,” katanya.

Dalam Pertandingan Kereta Berhias, Gereja BEM Marudi (Bahasa Melayu) muncul juara, diikuti Gereja Roman Katolik Good Shepherd Marudi di tempat kedua dan Gereja Anglikan di tempat ketiga.

Bagi kategori agensi kerajaan, Pejabat Daerah Marudi meraih tempat pertama, manakala Hospital Marudi menduduki tempat kedua.

Oleh Jiku Juguong