PETRA JAYA, 22 November: Lebih ramai wanita diharap diberi peluang memegang jawatan kepimpinan di Sarawak, termasuk diketengahkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) GPS yang ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini, menyifatkan wanita berkemampuan memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan politik dan pembangunan masyarakat.
Penyandang DUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, wanita mempunyai keupayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, selain memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera parti dan memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya yakin wanita memang berkebolehan dan wanita mampu untuk melaksanakan tugasan sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan wanita dalam perjuangan parti tidak boleh dipandang ringan, justeru berharap lebih ramai wanita diberi peluang untuk diketengahkan sebagai calon pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan pemilihan calon kepada kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sambil menegaskan kepentingan semua anggota parti memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

Sementara itu, penyandang DUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, penglibatan wanita tidak seharusnya terhad kepada peluang menjadi calon pilihan raya, sebaliknya perlu diperluas hingga ke peringkat komuniti.
Menurutnya, wanita dan golongan belia perlu diberi ruang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses politik serta pembangunan masyarakat.
“Harapan kita nanti bukan setakat peluang untuk wanita, lebih ramai wanita untuk dicalonkan, tetapi kita juga mahu wanita-wanita di kawasan turut serta secara aktif dalam proses politik dan pembangunan masyarakat,” katanya.
Pandangan itu turut dikongsi penyandang DUN Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang yang menyifatkan kepimpinan wanita penting dalam GPS, selain mengiktiraf sumbangan pemimpin wanita sedia ada dalam gabungan itu.
Beliau menyebut beberapa pemimpin wanita, termasuk Dato Sri Fatimah Abdullah dan Datuk Sharifah Hasidah, sebagai antara individu yang memainkan peranan dalam GPS.
“Untuk GPS, wanita-wanita memang sangat penting. Kita memang mahu pemimpin wanita juga dalam GPS,” katanya sambil berharap lebih ramai wanita tampil menyertai kepimpinan parti.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasidah turut menyeru semua pemimpin dan anggota GPS supaya mengetepikan perbezaan dalaman serta memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih bagi memastikan jentera parti bergerak lancar menjelang PRN13.
Lo Khere Chiang pula menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Premier Sarawak dengan merujuk kepada pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan, termasuk pembinaan 22 jambatan dan lebih 1,000 kilometer jalan raya dalam tempoh enam tahun.
Beliau berkata, pembangunan berkenaan turut membuka peluang ekonomi kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kontraktor dan perunding.
Simon pula berkata, kira-kira RM1.3 bilion nilai pembangunan telah disalurkan ke kawasan DUN Tebedu sepanjang lima tahun lalu menerusi pelbagai projek, sambil berharap masyarakat setempat terus terlibat dalam proses pembangunan.
Oleh Adele Rissa dan Shikin Mahmud





