Dari institusi kewangan ke dunia solekan, Kam Shahdon ikut kata hati

Facebook
WhatsApp
BERBAKAT…Kam Shahdon, 46, meninggalkan kerjaya dalam sektor kewangan selepas hampir 19 tahun demi mengejar minat dalam bidang solekan profesional.

KUCHING, 21 November: Minat terhadap dunia kecantikan mendorong Kameriah Shahdon, atau lebih dikenali sebagai Kam Shahdon, membuat keputusan besar meninggalkan kerjaya dalam institusi kewangan selepas hampir 19 tahun untuk menceburi bidang solekan profesional.

Kam, 46, berkata minatnya terhadap solekan mula berkembang ketika memasuki alam pekerjaan apabila beliau semakin memberikan perhatian kepada penampilan diri serta mengikuti perkembangan jurusolek terkenal dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, keputusan untuk mendalami bidang itu secara serius dibuat pada 2015 apabila mengikuti kelas solekan bermula daripada peringkat asas hingga kelas lanjutan bersama Lentera Astana, sebelum meneruskan latihan kemahiran dan memperoleh pensijilan profesional dalam bidang solekan serta dandanan rambut menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Pada 2018, saya mengambil keputusan besar untuk meninggalkan kerjaya dalam institusi kewangan yang telah diceburi selama hampir 19 tahun bagi memberikan lebih tumpuan kepada bidang yang saya minati,” katanya.

Sejak itu, Kam aktif sebagai jurusolek dalam pelbagai acara termasuk pertandingan ratu cantik, pertunjukan fesyen, persembahan pentas dan majlis perkahwinan.

PENCAPAIAN…Trofi dan sijil yang diraih Kam Shahdon dalam pertandingan Anugerah Jurusolek 2017 (WPPA) di Kuching.

Pengalaman lebih 11 tahun dalam industri berkenaan turut memberinya peluang mengendalikan pelanggan dengan pelbagai keperluan, bentuk wajah dan jenis kulit.

Mengulas cabaran sepanjang bergelar jurusolek, beliau berkata pengurusan masa merupakan antara aspek utama yang perlu diberi perhatian, khususnya apabila menawarkan perkhidmatan jurusolek bergerak (mobile makeup artist).

Katanya, setiap tempahan perlu dirancang dengan teliti bagi mengambil kira masa perjalanan, tempoh menyiapkan solekan pelanggan serta mengelakkan pertindihan jadual.

Selain itu, latihan dan pengalaman membolehkannya meningkatkan kepantasan bekerja sehingga mampu menyiapkan solekan seorang pelanggan dalam tempoh kira-kira 45 minit atau kurang, tidak termasuk dandanan rambut.

Bagaimanapun, Kam menegaskan bahawa kepantasan bekerja tidak boleh mengorbankan kualiti hasil solekan kerana kepuasan pelanggan tetap menjadi keutamaan.

SOLEKAN…Kam Shahdon sedang menata rias wajah seorang pelanggan menggunakan kemahiran dan teknik solekan profesional.

Antara pencapaian yang paling membanggakannya ialah kejayaan meraih gelaran Naib Johan dalam pertandingan Anugerah Jurusolek 2017 (WPPA).

Menurutnya, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki kemahiran dan mencabar kemampuan diri dalam industri kecantikan.

Bagi memastikan hasil solekan memenuhi kehendak pelanggan, beliau menekankan kepentingan komunikasi sebelum sesi solekan dimulakan.

Katanya, jurusolek perlu memahami jangkaan pelanggan selain menjelaskan kesesuaian teknik dan produk berdasarkan keadaan serta tona kulit, di samping struktur wajah masing-masing.

Beliau turut berpendapat bahawa trend solekan seperti gaya solekan Thai dan Korea semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan generasi muda.

PERKONGSIAN…Kam Shahdon berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam bidang solekan profesional menerusi satu sesi pembentangan.

Namun, beliau lebih menggemari gaya solekan yang tidak lapuk ditelan zaman dan tidak terlalu terikat dengan trend semasa.

“Trend boleh berubah, tetapi kecantikan yang sederhana, seimbang dan sesuai dengan personaliti seseorang akan sentiasa relevan,” katanya.

Mengulas peranan media sosial, Kam berkata platform seperti Facebook dan Instagram banyak membantu mengembangkan kerjayanya menerusi perkongsian hasil solekan, pengalaman pelanggan serta penglibatan dalam pelbagai acara.

Beliau berkata, media sosial bukan sahaja meluaskan capaian kepada bakal pelanggan, malah membantu membina identiti dan jenama peribadi seseorang jurusolek.

Menyentuh kemahiran yang perlu dimiliki oleh mereka yang ingin menceburi bidang itu, beliau berkata minat, keberanian mencuba dan kesediaan untuk terus belajar merupakan asas penting.

TEKNIK SOLEKAN…Kam Shahdon menunjukkan teknik solekan wajah secara langsung menggunakan seorang model dalam satu sesi perkongsian kemahiran.

Selain kemahiran teknikal, seseorang jurusolek juga perlu menguasai kemahiran komunikasi, pengurusan masa, disiplin, kesabaran dan etika kerja.

Beliau turut menggalakkan mereka yang serius untuk menjadikan bidang solekan sebagai kerjaya supaya mengikuti latihan berstruktur dan mendapatkan pensijilan berkaitan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Mengakhiri perkongsian, Kam menasihatkan golongan muda yang ingin menceburi bidang solekan supaya melengkapkan diri dengan ilmu, disiplin dan kesungguhan, bukannya semata-mata mengejar pendapatan.

“Kita bukan pakar bedah yang mengubah rupa paras seseorang, sebaliknya jurusolek yang menggunakan kemahiran dan seni solekan untuk menonjolkan kecantikan semula jadi setiap individu.

“Bagi saya, setiap wanita sememangnya cantik. Tugas kita hanyalah membantu mereka melihat dan menghargai kecantikan diri sendiri,” katanya.

Oleh Norman B