SIBU, 20 November: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah agensi khas dengan peruntukan tersendiri bagi menyelaras pembangunan Sibu secara menyeluruh, termasuk pembangunan semula kawasan bandar, pembukaan penempatan baharu dan pewujudan Zon Ekonomi Sibu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, agensi itu akan diberikan kuasa tertentu serta dikendalikan tenaga kerja berpengalaman bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
“Agensi itu akan diberikan kuasa tertentu dan dikendalikan tenaga kerja berpengalaman, dengan model pentadbiran mengambil contoh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA),” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sibu Sentral Sdn Bhd dengan MPS bagi cadangan pembangunan terminal bas baharu Sibu Sentral di sini, hari ini.
Menurutnya, penubuhan agensi itu penting memandangkan Sibu memerlukan satu pelan induk pembangunan yang mengambil kira keperluan infrastruktur, pertumbuhan penduduk serta kelestarian alam sekitar.
Antara projek utama yang diberi perhatian ialah pembangunan semula Bukit Assek yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM2 bilion dengan sumbangan kerajaan Sarawak.
Katanya, pembangunan itu bukan sahaja bertujuan menangani kesesakan bandar, malah merangkumi usaha memperbaiki pengurusan paras air dan masalah air bertakung bagi mewujudkan persekitaran lebih sihat serta selamat.
“Kita tidak mahu kawasan itu terus berhadapan masalah air bertakung sehingga menggalakkan pembiakan nyamuk dan meningkatkan risiko penyakit.
“Kita memerlukan pelan pembangunan Sibu secara menyeluruh dan ia sememangnya memerlukan peruntukan yang besar,” katanya.
Selain pembangunan semula kawasan sedia ada, Abang Johari berkata, Sibu juga perlu diperluaskan menerusi pembangunan kawasan pinggir bandar baharu bagi menampung pertambahan penduduk serta menyokong pertumbuhan bandar pada masa depan.
Beliau berkata, pembangunan kawasan baharu itu perlu disokong dengan rangkaian jalan raya dari Kemuyang hingga ke kawasan belakang Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan.
Dalam aspek pertumbuhan ekonomi pula, beliau berkata cadangan Zon Ekonomi Sibu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur dan mendapat persetujuan pada prinsipnya daripada Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Sarawak berharap zon berkenaan turut diberikan insentif khas, termasuk struktur cukai yang kompetitif seperti ditawarkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Sibu.
Oleh Tarani Lanting




