Manggung Di Muara: Malam galau, peminat nyanyi sepenuh hati

Facebook
WhatsApp
NADHIF Basalamah menyampaikan lagu ‘Jaga Hati’ sambil diiringi nyanyian bersama peminat pada konsert Manggung Di Muara 2026, malam tadi. Foto Adele Rissa

KUCHING, 15 November: Persembahan empat penyanyi popular, Ari Lesmana, Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno, bersama sorakan serta nyanyian ribuan peminat mewarnai kemeriahan konsert Manggung Di Muara 2026 di Kuching Waterfront Esplanade, malam tadi.

Menghimpunkan barisan artis dan pemuzik dari Indonesia, Malaysia dan Brunei, konsert itu membawa penonton menyelami pelbagai emosi menerusi persembahan lagu yang dekat dengan kehidupan, khususnya berkaitan cinta, kerinduan dan hubungan.

ARI Lesmana menghiburkan peminat menerusi persembahan lagu ‘Temanggu’ pada konsert Manggung Di Muara 2026 di Kuching Waterfront Esplanade, malam tadi. Foto Nadya Victoria

Ari Lesmana antara yang mencuri perhatian menerusi lagu ‘Temanggu’, manakala Nadhif Basalamah mengundang nyanyian bersama peminat menerusi lagu ‘Jaga Hati’.

Aziz Harun turut menghiburkan penonton dengan lagu ‘Senyum’, sementara Aisha Retno memberikan kelainan menerusi ‘Jodoh Lebaran’, sebuah lagu bertemakan Hari Raya yang membawa sentuhan ceria di tengah-tengah himpunan lagu bernuansa galau.

Sorakan dan nyanyian bersama yang bergema sepanjang persembahan memperlihatkan keterujaan peminat menghayati setiap lagu, sekali gus menjadikan konsert itu ruang pertemuan peminat muzik daripada pelbagai latar belakang.

AZIZ Harun menghiburkan peminat menerusi lagu ‘Senyum’ pada konsert Manggung Di Muara 2026 di Kuching Waterfront Esplanade, malam tadi. Foto Adele Rissa

Sambutan terhadap acara itu turut terserlah apabila sebanyak 3,000 tiket dilaporkan terjual setakat 9 November lalu menerusi platform jualan tiket Saratic, dengan penganjur menyasarkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Selain persembahan muzik, pengunjung turut berpeluang mengunjungi Sorong Sorong Market yang menghimpunkan lebih 20 peniaga makanan dan minuman tempatan, sekali gus menambah pilihan aktiviti sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.

AISHA Retno menceriakan suasana konsert Manggung Di Muara 2026 menerusi persembahan lagu ‘Jodoh Lebaran’ yang bertemakan Hari Raya, malam tadi. Foto Adele Rissa

Dianjurkan Wazai Creative Solution dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Manggung Di Muara 2026 menghimpunkan artis serta pemuzik dari Indonesia, Malaysia dan Brunei di satu pentas, sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan rentas sempadan menerusi industri muzik dan seni persembahan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

PEMINAT memenuhi ruang hadapan pentas sambil menyanyi bersama artis pada konsert Manggung Di Muara 2026 di Kuching Waterfront Esplanade, malam tadi. Foto Nadya Victoria

Berlatarbelakangkan suasana malam di tepian Sungai Sarawak, konsert itu bukan sahaja menyajikan hiburan, malah memperlihatkan bagaimana muzik mampu merentasi sempadan dan menyatukan peminat, daripada lagu yang menyentuh perasaan hinggalah irama yang mengundang senyuman.

Oleh Adele Rissa