KUCHING, 14 November: Longgokan kotak telur yang terbakar menyebabkan asap tebal memenuhi ruang sebuah kedai CCK di Kuching City Mall, di sini, malam ini.
Komander Operasi, PBK I Abdul Hakim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.33 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Menurut kenyataan JBPM Sarawak, kebakaran berjaya dikawal pada 9.01 malam menerusi pendekatan serangan ofensif (Offensive Attack) oleh anggota bomba.
Katanya, anggota bomba membentangkan satu aliran hos dengan mendapatkan bekalan air daripada pili bomba berhampiran yang terletak kira-kira 20 kaki dari lokasi kejadian.
Kebakaran dianggarkan melibatkan kira-kira 30 peratus bahagian siling ruang berkenaan, manakala tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Operasi melibatkan sembilan anggota dari BBP Batu Lintang dengan bantuan BBP Kota Sentosa, menggunakan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) serta sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Turut berada di lokasi ialah Pegawai Kanan, PPgB Richard Jihun selaku Komander Operasi Kanan Ibu Pejabat, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy (Sesco).
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.52 malam, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Afiq Sallehi




