KUCHING, 14 November: Orang ramai, khususnya pembekal barangan dan pengusaha katering, diingatkan supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan yang menggunakan identiti anggota perkhidmatan awam Sarawak untuk membuat tempahan palsu menerusi aplikasi WhatsApp.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak (SUK) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kegiatan individu tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan identiti anggota perkhidmatan awam serta alamat pejabat berkenaan untuk membuat tempahan barangan pejabat dan perkhidmatan katering.
Kegiatan itu dipercayai menggunakan borang Pesanan Perkhidmatan (Service Order) palsu bagi memperdaya pihak yang menerima tempahan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, perbuatan memalsukan dokumen rasmi serta menyalahgunakan nama dan identiti anggota perkhidmatan awam Sarawak merupakan perkara serius yang boleh menjejaskan reputasi institusi kerajaan, selain mengelirukan orang awam dan pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, Pejabat SUK Sarawak menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan identiti rasmi kerajaan Sarawak.
Satu laporan polis turut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara tersebut.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pihak yang membuat tempahan dalam kuantiti besar tanpa pengesahan sewajarnya.
Mereka yang menerima panggilan telefon, e-mel atau mesej WhatsApp yang meragukan boleh menghubungi Pejabat SUK Sarawak menerusi talian rasmi 082-441957 untuk mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut.





