KUCHING, 14 November: Pembangunan komuniti yang mampan bukan sekadar bergantung kepada bantuan kewangan, sebaliknya memerlukan pengukuhan keupayaan organisasi dan masyarakat supaya mampu berdikari serta meneruskan inisiatif pembangunan dalam jangka panjang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau berkata, kejayaan sebenar sesuatu inisiatif pembangunan bukan diukur berdasarkan tempoh sesebuah komuniti menerima bantuan, sebaliknya sejauh mana masyarakat berkenaan mampu berdiri sendiri dan meneruskan usaha yang dibangunkan.
“Ukuran sebenar kejayaan kita bukanlah berapa lama sesebuah komuniti bergantung kepada bantuan kita, tetapi sejauh mana mereka mampu berdiri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program RISE 2026: Peningkatan Impak Menerusi Pemerkasaan Mampan, program pembangunan keupayaan untuk Penyedia Penyelesaian Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) Sarawak, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembiayaan sememangnya penting dalam menjayakan sesuatu inisiatif, namun ia sahaja tidak menjamin kelestarian sekiranya organisasi komuniti tidak mempunyai asas pengurusan yang kukuh.
“Pembiayaan memang penting, tetapi pembiayaan sahaja tidak menjamin kelestarian.

“Organisasi komuniti juga memerlukan tadbir urus yang baik, pengurusan kewangan berkesan, pengetahuan teknikal, keupayaan kepimpinan serta akses kepada jaringan dan peluang yang lebih luas,” ujarnya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, komuniti luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat kemudahan, khususnya di Sarawak, mempunyai potensi tersendiri menerusi pengetahuan, kemahiran, sumber alam serta jaringan sosial yang telah menyokong kehidupan masyarakat sejak turun-temurun.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penerima bantuan, sebaliknya perlu diberi ruang untuk memainkan peranan sebagai rakan pembangunan yang terlibat dalam merancang dan melaksanakan penyelesaian berdasarkan keperluan setempat.
Justeru, beliau menegaskan bahawa pembangunan keupayaan tidak seharusnya dianggap sebagai program sekali sahaja, sebaliknya perlu menjadi pelaburan berterusan dalam membangunkan pengetahuan dan keupayaan individu serta organisasi masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik, masyarakat sivil dan komuniti bagi membentuk ekosistem pembangunan yang inklusif serta memastikan tiada golongan tercicir.
“Pendekatan pembangunan yang berkesan perlu membolehkan masyarakat mengambil alih tanggungjawab, memainkan peranan kepimpinan dan memastikan inisiatif yang dilaksanakan dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang,” jelasnya.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku Memperkasa Komuniti, Membina Masa Depan Mampan (Empowering Communities, Building Sustainable Futures) yang mendokumentasikan pengalaman serta kisah impak projek keselamatan makanan dan pembangunan berasaskan komuniti yang dilaksanakan oleh Penyedia Penyelesaian APPGM-SDG bersama komuniti rakan mereka.
Oleh Adele Rissa



