12,323 tangkapan kes dadah direkodkan di Sarawak dalam tempoh 10 bulan

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Mohammad Razi Sitam berucap pada Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Sarawak 2026 di sebuah hotel di Bintulu, hari ini.

BINTULU, 12 November: Sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, dengan majoritinya melibatkan kategori penagih.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, daripada jumlah itu, 9,545 tangkapan melibatkan kategori penagih, 2,219 kes memiliki dadah dan 559 kes bekalan dadah.

Menurutnya, statistik itu menunjukkan penyalahgunaan dadah masih memerlukan perhatian serius melalui pendekatan pencegahan awal, rawatan, pemulihan dan sokongan komuniti.

“Selain memperkukuh usaha penguatkuasaan, pendekatan pencegahan awal, rawatan, pemulihan dan sokongan komuniti perlu terus dipertingkatkan bagi menangani permasalahan ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Sarawak 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

DATUK Dr Mohammad Razi Sitam merakam gambar kenangan bersama tetamu jemputan dan para hadirin pada Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Sarawak 2026 di Bintulu, hari ini.

Razi memberitahu, penyalahgunaan dadah bukan sahaja berkaitan penguatkuasaan undang-undang, malah turut memberi kesan kepada kesihatan, kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti dan pembangunan modal insan.

“Dalam masa sama, kita juga perlu memberikan perhatian terhadap permasalahan sosial yang berlaku secara tersembunyi, seperti tekanan emosi, konflik keluarga dan pengaruh negatif dalam kalangan remaja.

“Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal permasalahan serta mendapatkan bantuan melalui saluran yang bersesuaian sebelum keadaan menjadi lebih serius,” tegasnya.

Beliau berkata, institusi keluarga dan sokongan komuniti memainkan peranan penting dalam menangani isu berkenaan, justeru usaha itu memerlukan penglibatan semua pihak termasuk golongan belia, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat.

Konvensyen bertemakan ‘Membina Spiritualitas, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’ itu berlangsung selama dua hari dengan tumpuan kepada lima bidang utama, termasuk pengurusan ketagihan, kesihatan mental, kesejahteraan keluarga, keselamatan digital serta spiritualiti dan kesejahteraan sosial.

Oleh Carolyne Utih

Perceraian bukan alasan abaikan nafkah anak

SIBU, 12 November: Perceraian tidak seharusnya menjadi alasan untuk ibu bapa mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak, khususnya dalam memastikan hak nafkah,