Perceraian bukan alasan abaikan nafkah anak

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN.....Awang Tengah menyempurnakan Majlis Penangguhan Seminar Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Tengah, hari ini.

SIBU, 12 November: Perceraian tidak seharusnya menjadi alasan untuk ibu bapa mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak, khususnya dalam memastikan hak nafkah, kasih sayang, perlindungan dan pendidikan mereka terus terpelihara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan melindungi kebajikan ibu serta anak-anak yang terjejas akibat kegagalan pembayaran nafkah.

Menurutnya, agensi berkaitan perlu tampil memberikan bantuan, nasihat dan bimbingan kepada pihak yang berhadapan dengan masalah nafkah, selain membantu menyelesaikan pertikaian melalui saluran yang bersesuaian.

“Kita mesti memahami bahawa perceraian tidak bermakna tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak turut terhenti. Hak anak-anak untuk mendapat nafkah, kasih sayang, perlindungan dan pendidikan mesti terus dipelihara walaupun ibu bapa tidak lagi tinggal bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Tengah, hari ini.

Awang Tengah turut menegaskan usaha membantu golongan terjejas tidak boleh digalas oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penyelarasan antara jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, prosedur mendapatkan bantuan juga perlu dipermudah supaya masyarakat tidak terbeban dengan urusan birokrasi yang menyebabkan mereka terpaksa berulang-alik atau keliru mengenai saluran permohonan.

“Perkara yang boleh dipermudahkan mesti dipermudahkan supaya urusan menjadi lebih cepat dan mudah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agensi pelaksana supaya tidak hanya menguruskan program dari pejabat, sebaliknya turun padang bagi mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat serta menilai keberkesanan bantuan yang disediakan.

Menurutnya, pendekatan seperti Ziarah Mahabbah penting untuk mendapatkan maklum balas masyarakat kerana keperluan penduduk di bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman berbeza antara satu sama lain.

Beliau berkata, kesejahteraan keluarga mempunyai hubungan rapat dengan pembangunan Sarawak kerana keluarga yang harmoni menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, selamat dan stabil.

“Justeru, semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, ketua kaum, pengurusan masjid, guru serta pertubuhan komuniti digesa memanfaatkan ilmu yang diperoleh menerusi seminar berkenaan bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat dan saluran bantuan yang tepat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak dengan memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa mengira latar belakang atau pegangan agama mereka.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awg Suhaili Ledi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad serta yang lain.

Oleh Akun Giman